BARISAN pengarah yang terbabit dalam Waktu Netflix Indonesia.
BARISAN pengarah yang terbabit dalam Waktu Netflix Indonesia.
Syafil Syazwan Jefri


SETIAP tahun, sektor perfileman Indonesia terus-menerus berkembang dengan pesat. Kini, ia melangkah setapak lagi apabila karya filem dan sirinya akan ditayangkan di platform penstriman digital, Netflix.

Menerusi slot Waktu Netflix Indonesia (WNI), lapan karya Indonesia daripada pelbagai genre akan dipertontonkan kepada pelanggan Netflix.

Antaranya, The Big 4, Dear David, Hari Ini Akan Kita Ceritakan Nanti, Klub Kecanduan Mantan, Komedi Kacau, Gadis Kretek dan Nightmares and Daydreams.

Ketua Kandungan Netflix Indonesia, Rusli Eddy berkata, WNI adalah ruang di mana pengkarya Indonesia menyajikan karya autentik yang memaparkan keunikan Indonesia.

"Industri filem Indonesia berkembang sangat pesat dalam beberapa tahun terakhir. Semakin ramai pengkarya dan cerita dari Indonesia yang menayangkan serta mencuri perhatian penonton dan pengkritik dunia.

"WNI menghadirkan pelbagai kisah yang autentik dan unik, di mana menjadi simbol dari negeri yang kaya dengan cerita serta budaya.

"Semuanya dipersembahkan oleh pembikin yang karya mereka memberikan kesan besar kepada industri perfileman kita," katanya.

Menjawab pertanyaan Harian Metro mengenai kriteria yang diperlukan sebelum sesuatu karya itu sesuai untuk mengisi ruang sebagai karya original Netflix, Rusli berkata, paling penting adalah karakter.

"Biasanya ia bermula dengan cerita yang mana ada pelbagai variasi berbeza. Tapi, yang paling menarik perhatian juga adalah karakter dalam cerita itu.

BARISAN pelakon karya-karya dalam Waktu Netflix Indonesia.
BARISAN pelakon karya-karya dalam Waktu Netflix Indonesia.

"Adakah karakter itu sudah cukup menarik untuk kita 'laburkan' dalam cerita itu? Itu paling utama. Ia boleh menjadi sesuatu yang sederhana, namun punya kelainan dan keunikan tersendiri," katanya.

Turut tampil ketika sesi webinar WNI baru-baru ini adalah tujuh pengarah iaitu Timo Tjahjanto yang mempertaruhkan filem komedi berjudul The Big 4, Shanty Harmayn (drama Gadis Kretek), Joko Anwar (drama Nightmares and Daydreams), Muhammad Zaidy (Dear David), Salman Aristo (Klub Kecanduan Mantan), Angga Dwimas Sasongko (Nanti Kita Akan Cerita Tentang Hari Ini) dan Raditya Dika (Komedi Kacau).

Bagi Timo, kehadiran Netflix umpama membuka ruang buat pembikin filem untuk melangkaui batasan negara dan menyentuh hati penonton dari seluruh dunia.

"Saya sendiri kagum dengan alur perfileman Indonesia, di mana ia tidak hanya terkongkong dalam ruangnya sahaja.

"Netflix berjaya menipiskan tembok antara filem kita dengan orang yang menonton. Dalam kata lain, filem umpama tidak ada batasan negara," katanya.

Bagi Joko yang cukup popular dengan karya seram, dia menganggap bahawa cerita dengan sudut pandang tempatan itu juga mampu memberi kesan kepada penonton.

"Kalau kita hasilkan satu cerita yang bersifat universal, semua orang boleh kaitkan dengan diri dan kehidupan mereka. Tapi, kalau pada masa sama, kita hasilkan cerita mengikut sudut pandang kita, kita boleh sampaikannya dari sudut pandang negara kita.

"Bagi penonton luar, mereka boleh gunakan isu yang ada di luar negara mereka sebagai material yang menjadi cerminan kepada mereka.

"Contohnya, tema penceraian, kalau di negara lain, mungkin norma penceraian itu berbeza. Jadi, mereka boleh jadikannya sebagai refleksi dan melihat dari sudut pandang mereka pula," katanya.

Tidak hanya membariskan pengarah serta jalan cerita hebat, WNI turut membariskan barisan pelakon hebat dalam industri perfileman Indonesia antaranya, Abimana Aryasatya, Putri Marino, Dian Sastrowardoyo, Ario Bayu dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:30 AM