SITI Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
SITI Bainun hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini, ditunjukkan beberapa klip video penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood dilayan seperti 'hamba abdi' oleh pengasas rumah kebajikan itu, Siti Bainun Abd Razali seperti didakwa Yasmin sebelum ini.

Video itu antara lain memaparkan sambutan Aidilfitri dan hari jadi, selain percutian membabitkan Siti Bainun dan dua penghuni rumah kebajikan itu, remaja Sindrom Down dikenali Bella serta Yasmin yang juga saksi pendakwaan kelima.

Yasmin kemudian mengesahkan kejadian dalam video itu selepas disoal peguam Siti Bainun, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor.

Mengulas mengenai video Aidilfitri pada 22 Mei 2021, Nur Aminahtul Mardiah bertanyakan siapa yang Bella peluk paling lama dan Yasmin menjawab 'Siti Bainun'.

Yasmin juga menjawab 'ya' ketika ditanya Bella tidak takut dan peluk penderanya paling kuat.

Sementara itu, Nur Aminahtul Mardiah menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang berunsur penipuan.

Penipuan itu termasuk kononnya Bella asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah selepas sering didera, sebaliknya klip video dipaparkan hari ini, menunjukkan remaja berkenaan berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, Yasmin menafikan keterangan diberikan itu adalah palsu.

Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:16 PM