AZHAN melakonkan watak dengan mengenakan pakaian sut PPE.
AZHAN melakonkan watak dengan mengenakan pakaian sut PPE.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengalaman melakonkan watak doktor dan perlu memakai set pakaian pelindung diri (PPE) dalam supertelefilem berjudul Frontliner sedikit-sebanyak membuatkan Azhan Rani, 44, insaf.

Azhan ketika dihubungi berkata, babak yang memerlukan dia memakai PPE benar-benar membuatkan dia tidak selesa, panas dan melemaskan.

"Memang tidak selesa dan panas apabila memakai PPE. Ia amat menginsafkan saya betapa virus ini benar-benar menguji ketahanan diri dan kesabaran kita.

"Ketika penggambaran, saya memakai PPE sekitar 10 hingga 30 minit untuk sesuatu babak. Tapi percayalah baru pakai dua minit saja, saya dah rasa lemas walaupun saya memakainya di tempat berhawa dingin.

"Jadi, bayangkan petugas barisan hadapan yang terpaksa memakai PPE berjam-jam lamanya dan turun pula ke lapangan dengan cuaca panas untuk menjemput pesakit. Ya Allah, ia betul-betul menginsafkan saya," katanya.

Azhan berkata, pernah pada satu masa, dia berasa peluhnya seperti air paip mencurah-curah hingga kasut juga basah lencun.

Katanya, dia menjadi sangat kagum dan amat menghormati jasa yang dicurahkan semua petugas barisan hadapan yang bertugas di hospital untuk menangani penularan Covid-19 ini.

Frontliner arahan Razif Rashid dan terbitan D Alpha Legacy ini bakal ditayangkan di saluran Netflix bermula 30 September ini.

Karya yang mengangkat perjuangan petugas barisan hadapan ketika penularan Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu ini sebenarnya sudah disiapkan lebih setahun lalu sebelum bakal menarik penonton secara global di Netflix.

Selain Azhan, Frontliner turut menampilkan lakonan Emma Maembong, Beto Khusyairy, Farah Ahmad, Achey, Wan Maimudah, Ashraf Muslim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 4:30 PM