Aishah
Aishah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya diberitahu yang kerosakan paru paru dalam lebih kurang 20 peratus," kata penyanyi Aishah selepas disahkan positif Covid-19 pada hujung bulan lalu.

Aishah, 56, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berkata, dia bagaimanapun memperbanyakkan berzikir bagi mengelakkan dari berfikir perkara yang tidak sepatutnya.

"Masa di hospital, hanya pada hari  keenam baru perasan yang saya dah ada di hospital hampir seminggu. Seolah enam hari pertama itu, walaupun saya sedar tapi entahlah rasa macam tiada apa-apa. Untuk sembuh kerana Covid-19 bukan beri kesan pada fizikal saja, tapi juga mental.

"Tidak tahulah sama ada saya saja yang merasakan kesan ini. Pemikiran saya kalau tak kuat lawan dan selalu berzikir, traumanya boleh buat kita termenung saja. Otak 'blur' dan trauma. Kalau saya layankan boleh jadi macam 'zombi'. 

"Kadang bila bercakap pemikiran itu hilang, sampaikan perkataan pun boleh lupa. Macam jadi kurang cerdik pula. Alhamdulillah kesan itu  dapat saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir. Kalau ikut hati sedap layan tengok dinding saja," katanya.

Dalam masa sama, Aishah turut berkongsi keadaan dirinya selepas keluar dari hospital dan dibenar balik ke rumah.

"Lima hari selepas keluar dari hospital, alhamdulillah paras oksigen, tahap gula dan tekanan darah semua okey. Walaupun anda semua nampak saya macam 'hyper' dan ada yang risau mungkin saya terlalu 'hyper', sebenarnya saya paksa diri untuk buat macam itu. Saya tak tahulah pesakit Covid-19 lain pun lalui perkara yang sama.

"Kesan Covid-19 dari segi fizikal saya rasa cepat penat, terutama bila naik turun tangga dan tak boleh berdiri lama, badan rasa melayang. Kena cepat-cepat baring. Tapi saya sangat bersyukur masih berada di sini. Mohon doakan saya dapat pulih sepenuhnya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 1:53 PM