AISHAH memakai penutup hidung dan mulut yang dibuat sendiri. FOTO Instagram
AISHAH memakai penutup hidung dan mulut yang dibuat sendiri. FOTO Instagram
Najiy Jefri


“INI bukan masa nak suka-suka masak macam nak raya,” kata penyanyi Aishah yang kini mengambil keputusan untuk mencatu makanan keluarganya selepas angka kematian akibat wabak Covid-19 semakin meningkat.

Aishah berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi mengelakkan ketua keluarga kerap keluar membeli barang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.

“Hari ini, saya ambil keputusan untuk mencatu stok makanan di dalam rumah kami. Kenapa saya kata begitu? Kalau kita, ibu asyik masak macam-macam, sudah tentu barang keperluan kita cepat habis.

“Maka ketua keluarga terpaksa keluar untuk membeli barang makanan. Ini bermakna kita meletakkan suami, anak atau ketua keluarga kita dalam risiko jangkitan Covid-19.

“Anggaplah bila kita minta ketua keluarga pergi membeli barang keperluan kita menghantar mereka ke medan 'perang'. Sanggup kita senang-senang minta mereka keluar sebab nak makan sedap-sedap," katanya.

Menerusi perkongsian sama di Instagram, Aishah berkata, langkah memanaskan semula makanan adalah cara terbaik untuk mengelakkan diri kerap memasak menu baharu.

“Jadi hari ini kami panaskan 'rezeki' semalam, juga nasi goreng dengan nasi lebih semalam.

"Ikan bilis goreng dan serunding memang sentiasa ‘stand by’ sejak kebelakangan ini. Ikan pun ikan goreng kelmarin.

"Yang ramai anak di rumah, mungkin boleh catu makanan setiap hari. Mungkin kita kumpulkan makanan yang boleh dimakan untuk hari ini saja.

“Umumkan pada ahli keluarga boleh makan banyak itu saja untuk hari ini. Secara tidak langsung kita akan berpada-pada apabila makan itu, bukannya makan seperti tiada hari esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 2:28 PM