Guru vokal, Fadlita Mohd Taib.
Guru vokal, Fadlita Mohd Taib.
Aisyah (gambar kanan) perlu buat warm up selepas 20 peratus paru-paru rosak. Suara penyanyi, Fazli (kiri) belum pulih.
Aisyah (gambar kanan) perlu buat warm up selepas 20 peratus paru-paru rosak. Suara penyanyi, Fazli (kiri) belum pulih.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kesan jangkitan Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan kualiti vokal penyanyi popular, Aishah dan Fazli Zainal.

Selain mengalami penurunan tahap oksigen, paru-paru kedua-dua penyanyi itu juga rosak akibat virus itu.

Kira-kira 20 peratus paru-paru Aishah rosak, manakala paru-paru Fazli mengalami kerosakan 75 peratus.

Aishah, 56, ketika dihubungi berkata, dia belum dapat memastikan sama ada kualiti suaranya terjejas selepas dijangkiti Covid-19 hujung bulan lalu.

Menurut Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, dia perlu melakukan senaman bagi mengetahui perbezaan itu.

"Setakat ini saya tak pasti kerana belum betul-betul cuba menyanyi. Lagipun sudah sebulan saya tak menyanyi.

"Jadi, kalau nak tahu ada perbezaan dari segi suara sama ada terjejas kena buat warm up latihan dahulu baru menyanyi. Dari situ boleh tengok ada perbezaan atau tidak," katanya.

Dalam masa sama, Aishah berkata, dia juga belum boleh melakukan senaman berikutan keadaan kesihatan belum mengizinkan selepas dibenar keluar hospital sejak seminggu lalu.

"Senaman belum lagi kerana setakat ini saya cepat penat. Kalau buat kerja rumah sikit pun kena duduk dulu rehat kemudian sambung balik. Turun naik tangga pun tercungap-cungap," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Aishah mengalami kerosakan paru paru 20 peratus akibat jangkitan virus itu.

Selain itu, Aishah berkata, kesan Covid-19 turut dirasai dari segi fizikal apabila cepat penat dan tidak boleh berdiri lama.

Fazli pulih dalam enam bulan

Suara penyanyi, Fazli Zainal belum pulih sehingga menyukarkan dia menyanyi dan melontarkan vokal selepas dijangkiti wabak Covid-19 pada bulan lalu.

Fazli, 44, atau nama sebenarnya Fadzli Zainal berkata, dia dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Alhamdulillah, selepas kena Covid-19 tiada simptom lain. Cuma, setakat ini suara belum pulih dan serak sampai sekarang. Guru vokal saya, Cikgu Delly berkata, ia mungkin sebab saya menggunakan oksigen terlalu lama ketika dimasukkan hospital selain pengambilan ubat dan makanan tambahan.

"Disebabkan itu badan perlu banyak air untuk lembabkan tekak. Sekurang-kurangnya kena minum tiga liter air kosong sehari. Mengikut kata doktor, insya-Allah tiga hingga enam bulan boleh sembuh sepenuhnya. Ia bergantung kepada cara hidup. Tidak boleh kena pendingin hawa, kena hidu oksigen semula jadi dan mengunjungi kawasan yang banyak pokok," katanya.

Fazli yang 18 hari keluar hospital berkata, dia perasan banyak perbezaan pada suaranya.

"Memang beza sangat. Sekarang ini nak menyanyi verse pun tidak lepas. Apabila ke nada tinggi, suara keluar angin saja. Dalam masa sama, saya juga masih batuk. Nak menyanyi terbatuk. Projection suara pun tiada. Memang macam orang bersalin, tidak boleh terlalu nak push. Kena relaks dulu.

"Lagipun sekarang baru 18 hari keluar hospital. Jadi, tunggu selepas 100 hari. Kita tengok macam mana. Saya okay saja, asal Allah masih izinkan boleh bercakap saya bersyukur. Insya-Allah, boleh sembuh," katanya.

Dalam masa sama, Fazli yang baru muncul dengan single terbaharu iaitu Mantan Yang Terluka mengambil inisiatif melakukan latihan vokal bersama Cikgu Delly.

"Sekarang, setiap hari saya buat latihan pernafasan dengan Cikgu Delly untuk melihat perkembangan, tapi masih tidak boleh paksa hingga nota tinggi. Setiap sesi antara sejam ke dua jam.

"Ini inisiatif sendiri. Kalau malas memang lambat lagi nak dapat balik suara. Doktor pun tak bagi kita malas. Nanti paru-paru susah nak 'bekerja' dan melambatkan proses sembuh," katanya.

Guru vokal, Fadlita Mohd Taib.
Guru vokal, Fadlita Mohd Taib.

Guru vokal bantu pemulihan

Proses mengembalikan suara penyanyi terjejas akibat dijangkiti Covid-19 mengambil masa.

Guru vokal, Fadlita Mohd Taib, 45, atau Cikgu Delly berkata, penawar terbaik bagi mengembalikan kualiti suara adalah dengan mendapatkan tahap oksigen yang baik.

"Paru-paru rosak tidak boleh diubati dengan antibiotik dan sebagainya. Ubat paru-paru rosak adalah oksigen. Pergi ke kawasan banyak pokok atau tasik boleh membantu. Lagi besar pokok lagi bagus sebab lebih banyak oksigen semula jadi ," katanya.

Delly yang dua minggu melatih penyanyi, Fazli Zainal yang baru pulih daripada Covid-19 berkata, dia melihat perkembangan terhadap proses itu walaupun tidak banyak.

"Perkembangan ada, tapi tak banyak. Alhamdulillah dari segi paras oksigen, ia stabil. Namun, masih perlu berhati-hati, tak boleh lasak, jalan laju dan bergerak pantas. Memandangkan Fazli mengalami kerosakan paru paru 75 peratus, jadi kadar oksigen masuk agak susah. Oksigen tak sampai ke dasar paru-paru menyebabkan nafas dia pendek.

"Macam sekarang walaupun tak pulih seperti asal, tapi masih ada kemajuan. Saya beri dia latihan pernafasan kerana ia proses pernafasan normal untuk pastikan oksigen masuk sehingga ke pinggang dan perut. Secara perlahan-lahan dapat pulihkan paru paru," katanya.

Menurut Delly, penawar terbaik bagi mengembalikan kualiti suara Fazli adalah dengan mendapatkan tahap oksigen yang baik.

"Setiap petang jika dia sihat, saya bawa ke tasik atau tempat yang banyak pokok.

"Suara dia sekarang ini tak ada lagi. Oleh kerana tisu dalam pita suara kering kerana kurang oksigen, jadi suara belum sembuh. Kita dapat dengar suaranya serak. Sebab itu dia belum boleh nyanyi dengan nada tinggi.

"Boleh bercakap, tapi suara serak. Jadi, penyelesaian sekarang kena tingkatkan dulu prestasi paru-paru. Selepas itu baru boleh perlahan-lahan membetulkan suaranya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 12:00 PM