Anggota UNIC, Wan Najdi bersama isteri dan anak-anak mereka.
Anggota UNIC, Wan Najdi bersama isteri dan anak-anak mereka.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur : "Isteri saya sebenarnya tak boleh terima sebab dia di hospital setiap hari jumpa kanak-kanak seperti itu, tiba-tiba jadi pada anak sendiri," kata penyanyi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh apabila anak keduanya, Wan Musthafa, 4, disahkan sebagai autisme (hiperaktif), Khamis lalu.

Wan Najdi, 31, berkata, dia juga pada awalnya tidak boleh menerima hakikat itu, namun belajar melihat bagaimana rakannya Bazli dapat menguruskan perkara itu yang pernah memiliki anak autisme.

"Saya pun tak boleh terima juga pada awalnya cuma saya pernah baca satu kata-kata ini, 'anak yang autisme ini kalau kita tak terima dia, kita akan marah dia sebab tak sampai penanda aras kita. Jadi, perlu ajar dia hingga menjadi seperti anak normal dan selepas itu baru boleh nak marah'.

"Selepas itu saya baru mula mencari maklumat dan sebagainya. Rupa-rupanya dalam perjalanan hidup saya selama ini, saya pernah tengok anak Bazli dulu iaitu Allahyarham Syahid yang juga autisme. Apabila besarkan anak syurga ini saya dah nampak Bazli. Ini sebab orang biasa tak boleh cakap melainkan ibu bapa itu mempunyai anak syurga.

"Saya juga pernah pergi majlis pelancaran Fynn Jamal di United Kingdom (UK), dia cerita mengenai anaknya, Arjuna Beta. Selepas itu, sepupu isteri saya pun ada anak autisme. Jadi, saya terfikir kenapa ada di sini dan saya pun imbas kembali semua itu, rupanya Allah nak bagi saya hadiah anak autisme," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Wan Najdi ditemui selepas menjayakan persembahan Live in Concert Reunic The Finale bersama bekas anggota Unic lain, yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Menurut Wan Najdi, dia mula menyedari sisi berbeza anaknya itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

"Sebenarnya saya dapat tahu sejak sebelum Covid-19. Isteri saya pun dah perasan sebab bila dia cakap pun mengarut-ngarut. Masa itu umur dia satu tahun lebih. Isteri saya kerja di hospital jadi dia kesan ada sesuatu yang tak kena dengan anak saya ini. Dalam tempoh Covid-19 itu saya lagi nampak sebab jaga dia setiap hari.

"Dia 'hyper', anak saya pernah terlepas keluar rumah dan main di tepi jalan raya. Semasa PKP saya lagi nampak sebab bila ajar dia tak macam budak lain dan jauh beza.

"Saya rasa betul-betul anak syurga ini bila dia punya 'tantrum' dan marahnya bukan macam budak biasa. Saya pun putuskan untuk tak pergi mana-mana waktu itu dan saya ambil keputusan untuk keluar Unic pun sebenarnya untuk anak syurga saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:09 PM