NAJMAN MOHAMED
NAJMAN MOHAMED
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas 26 hari dirawat akibat positif Covid-19 tahap empat, bekas penyampai radio Sinar FM, Najman Mohamed, 51, dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Najman yang menetap di Johor Bahru ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana sembuh dan Allah masih memberikannya peluang untuk hidup.

"Setiap saat kita berdoa dan doa kita Allah perkenankan tepat pada masanya. Tidak akan kurang atau lebih sesaat. Itu yang saya rasa. Jadi sebagai orang Islam, jangan putus berdoa," katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, dengan pengalaman yang dilaluinya, dia kini fobia untuk keluar rumah berbanding sebelum ini.

"Memang perit penangan Covid-19. Dalam hospital, saya sampai berkata, Ya Allah...kalau nak tarik nyawa aku, tariklah perlahan-lahan dan jangan sentap.

"Masa doktor bisik, saya tak sedar apa-apa kerana sudah ditidurkan secara meniarap. Kalau antibiotik dan steroid tak jalan, tak tahulah apa kesudahan nasib saya," katanya.

Najman berkata, ketika mula-mula dimasukkan ke hospital, dia menjalani ujian sinar-x dan tomografi berkomputer (CT Scan) dan disahkan berada pada tahap empat.

"Selepas tiga hari dalam wad dan sudah diberi antibiotik, ia nak naik ke tahap lima. Doktor tukar lagi ubat untuk merawat saya.

"Saya kini berehat di rumah sambil menggunakan alat bantuan oksigen yang disewa sebab saya ada masalah jantung," katanya.

Dia turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk peminat dan rakan artis terutamanya Datuk Aznil Nawawi yang menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah, Pak Nil berjanji nak infaq RM10,000 untuk membantu melunaskan sebahagian dari bayaran rawatan saya," katanya.

Terdahulu, Najman menerusi perkongsian dalam Facebook pada 21 Ogos lalu memaklumkan dirinya positif selepas menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR).

Dia seterusnya dimasukkan ke pusat perubatan di Johor Bahru untuk menjalani rawatan.

Isterinya, Hawa Atan dan dua anaknya, Amirul Akidd dan Amirul Akiff turut disahkan positif.

Hawa yang berada pada tahap empat dimasukkan ke pusat perubatan di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru dan dibenarkan keluar hospital beberapa hari selepas itu.

Manakala, dua anaknya hanya menjalani kuarantin di rumah.

Najman awalnya hanya menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, dia mula rasa tidak sihat ketika menjalani senaman paru-paru sebelum dimasukkan ke hospital.

Pada Julai lalu, Najman kehilangan adik, Azman Mohamed, 45, dan isterinya, Norashima Ramli, 44, akibat Covid-19.

Pasangan itu meninggalkan tiga cahaya mata berusia lima hingga 21 tahun yang turut disahkan positif. Beberapa hari sebelum adik dan isterinya meninggal dunia, dia kehilangan seorang sepupu yang turut meninggal dunia akibat virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:43 PM