FAZLI Zainal.
FAZLI Zainal.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Bila orang 'tag' saya di Instagram dan Facebook, sebaik terjaga saya tengok masa itu Allahyarham Siti Sarah dah meninggal dunia.

"Saya fikir giliran saya beberapa jam saja lagi untuk meninggal. Saya sampai meniarap sebab sesak nafas yang amat sangat masa dengar khabar mengenai Siti Sarah, sebab hanya kami berdua yang jadi tumpuan masa itu,".

Demikian pengakuan penyanyi Fazli Zainal sewaktu dia berdepan pengalaman getir ketika disahkan positif Covid-19 pada 31 Julai lalu.

Dia yang dirawat di Hospital Ampang selama 29 hari dan dibenarkan keluar Sabtu lalu, mengalami kerosakan paru-paru sebanyak 75 peratus dan memerlukan masa selama tiga hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

Fazli berkata, Shuib suami Allahyarham Siti Sarah ada menghubungi bertanyakan khabar dan dia memaklumkan keadaan oksigennya tidak menentu. 

"Saya fikir mungkin tiada harapan untuk hidup. Saya juga fikir sama ada lepas atau tidak seksaan kubur saya nanti dan rasa amat takut.

"Saya fikir perlu maafkan semua orang dan mohon mereka juga sudah maafkan saya kalau sekiranya ada salah dan silap," kata pada sesi sidang media pelancaran single terbaru berjudul Mantan Yang Terluka secara virtual.

Menurut Fazli, banyak juga pengalaman menginsafkan dilaluinya di hospital antaranya melihat kematian pesakit di katil bersebelahan.

"Pagi Subuh semasa masuk tandas, dia masih hidup. Selepas selesai solat Subuh saya mengaji hingga jam 8 pagi dan sekitar jam 9.15 pagi, saya toleh ke arahnya serta melihat jururawat masuk dan tubuhnya sudah kaku.

"Bila-bila masa saja nyawa kita  boleh pergi sekarang. Saya rasa terpanggil untuk sebarkan apa saja kebaikan serta terus berdoa Covid-19 ini cepat berakhir," katanya.

Sepanjang dirawat di hospital, Fazli mendedahkan dia tidak mandi kerana perlu mengambil masa berikutan paras oksigennya boleh menurun hingga 55 peratus dalam masa seminit di tandas

"Bayangkan kalau 15 minit, mungkin saya dah tiada lagi di dunia ini. Alhamdulillah, saya masih hidup. Sebelum ini, di rumah saya malas bangun solat tahajud. Kadangkala tak tidur pun, tapi solat Subuh pun tak buat.

'Namun, ketika di wad saya solat ambil wuduk guna spray dan solat dalam keadaan terbaring dan berlunjur. Sekarang, saya nak pesan jangan abaikan solat. Tak kisahlah walau lambat pun, bersolatlah," katanya

Fazli yang dikenali dengan lagu Harapan berkata, semangatnya kini kembali positif apabila doktor memberikan harapan keadaannya boleh pulih seperti sediakala.

"Doktor kata insyaAllah boleh baik sebab sebelum ini pun ramai pesakit yang sembuh. Cuma perlukan masa antara tiga hingga enam bulan dengan cara ambil makanan tambahan, senaman dan berjalan untuk pengaliran darah dalam badan.

"Saya juga buat latihan pernafasan. Saya kena tiub bola dan buat vokal skil khas melalui cara senaman. Ia macam orang berpantang bersalin," katanya yang kini di bawah pemantauan sahabatnya, cikgu Delly iaitu seorang guru vokal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:32 PM