Datuk Seri Eizlan Yusof (kiri), dan Datuk Hans Isaac.
Datuk Seri Eizlan Yusof (kiri), dan Datuk Hans Isaac.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof terhadap Datuk Hans Isaac berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa bagi mendapatkan dana untuk syarikat produksi, Excellent Pictures Sdn Bhd (EPSAB) akan dibicarakan.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Eizlan berkata, mahkamah memutuskan perkara itu selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian melalui proses pengantaraan.

Semua pihak dikehendaki memfailkan dokumen berkaitan praperbicaraan pada 18 Oktober depan, katanya dan menambah bahawa mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan tetapi pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar ditetapkan pada 28 Oktober depan secara dalam talian.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika dihubungi selepas pengurusan kes hari ini yang dijalankan secara maya di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ong Yen Li.

Hans Isaac, 50, atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac diwakili peguam Isa Aziz Ibrahim.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan pada 8 Februari lalu, Eizlan, 50, atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, mendakwa pada 9.13 malam, 16 November 2020, Hans Isaac menulis, mengeluar dan menyiarkan kata-kata fitnah dalam kumpulan 'Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di aplikasi WhatsApp yang kemudiannya tersebar ke media sosial lain.

Persatuan itu mempunyai 200 ahli termasuk plaintiff dan defendan.

Eizlan mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau mengambil kesempatan terhadap kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas untuk mendapatkan bantuan dana secara tidak sah daripada kerajaan untuk EPSB, sedangkan beliau tiada kena-mengena dengan syarikat terbabit dalam apa jua kapasiti.

Beliau mendakwa kenyataan Hans Isaac itu menyebabkannya kehilangan maruah, dihina dan dijauhi masyarakat umum.

Eizlan, antaranya menuntut ganti rugi am sebanyak RM2 juta serta ganti rugi teruk dan teladan, faedah dan kos selain menuntut defendan membuat permohonan maaf.

Hans Isaac dalam penyataan pembelaan difailkan pada 17 Mac lalu berkata, dakwaan plaintif bahawa beliau tiada kena-mengena dengan EPSB adalah tidak benar.

Beliau berkata, walaupun Eizlan tidak memegang sebarang jawatan atau saham di EPSB, namun beliau pernah berlakon dalam filem serta siri drama yang diterbitkan oleh syarikat itu.

Kenyataan kepada kumpulan WhatsApp berkenaan, yang merupakan kumpulan tertutup dan sebarang informasi atau apa-apa perkara yang tersebar keluar daripada kumpulan itu adalah tanggungjawab pentadbir kumpulan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:15 PM