Fazlina Ahmad Daud
Fazlina Ahmad Daud
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fazlina Ahmad Daud yang disahkan positif Covid-19 pagi semalam, memaklumkan tahap oksigennya menurun tetapi dia berada dalam keadaan baik.

Fazlina yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan dia sedang melakukan beberapa ikhtiar bagi memastikan dirinya kekal sihat.

"Saya mula rasa sakit tekak dan sendi sejak Sabtu lalu. Jadi, saya buat ujian saringan dan hasilnya negatif.

Saya ingat mungkin hanya mengalami kesakitan otot sebab kebetulan saya ke gimnasium sehari sebelum itu.

"Malangnya pagi semalam selepas solat Subuh saya buat ujian sekali lagi dan disahkan positif melalui dua ujian yang dijalankan. Sekarang ini saya sedang menjalani kuarantin di rumah bersama suami yang sanggup menemani saya di dalam bilik.

"Bacaan oksigen saya sedikit rendah tapi masih terkawal. Semalam bacaan oksigen sekitar 91 peratus, tapi saya cuba ikhtiar dan amalkan segala nasihat yang diberikan peminat dan rakan-rakan antaranya senaman dan amalan yang mampu saya lakukan.

"Kalau tak cuba, kita tak tahu sebab virus ini tengah buat 'party' dalam badan saya. Apapun saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang tak putus-putus mendoakan dan memberi kata-kata semangat termasuk daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fazlina, dia dijangkiti virus itu ketika di lokasi penggambaran apabila terdapat kru produksi yang sudah mula batuk.
"Apabila saya disahkan positif, rata-rata kawan artis mengusik yang Covid-19 sememangnya wujud sebab saya seorang sangat menjaga prosedur operasi standard (SOP).

"Sejak Covid-19 melanda negara saya hanya akan terima satu tawaran dalam satu masa. Kemudian selepas selesai penggambaran saya akan ada tempoh bertenang selama tiga hari sebelum masuk ke set penggambaran lain.

"Saya dijangkiti virus ini ketika di set penggambaran kerana pada Khamis lalu saya lihat ada yang sudah mula batuk. Saya terus buat ujian saringan tapi negatif sehinggalah diberitahu ada yang positif selepas itu. Alhamdulillah hanya saya seorang yang positif di rumah, suami dan anak-anak semuanya negatif. Harapnya semua berada dalam keadaan yang baik dan dihindari daripada wabak berbahaya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 5:11 PM