Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon drama bersiri Shah Alam 40000, Danish Iskandar,17, disahkan positif Covid-19 selepas mengalami demam panas, sesak nafas dan sakit dada serta sendi secara tiba-tiba, semalam.

Bapanya, Muhammad Burhanudin berkata, berita itu hanya diketahui selepas Danish mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam semalam.

"Pada awalnya saya cuba mendapatkan rawatan awal di rumah tapi kesakitan yang dialami Danish tidak menunjukkan perkembangan baik.

"Jadi, kira-kira jam 9 malam semalam saya bawa Danish ke HKL selepas dia mengadu sesak nafas, sakit dada dan demam.

"Selepas mengambil darah, melakukan ujian saringan Covid-19 dan x-ray, akhirnya Danish disahkan positif Covid-19 tahap dua," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad berkata, Danish kini berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga 6 September ini.

"Keadaan Danish beransur baik cuma dia masih batuk, selesama dan sakit tekak. Bacaan oksigennya juga berada dalam keadaan normal.

"Danish kini menjalani kuarantin di rumah. Doakan Danish kuat dan dapat melawan wabak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 12:24 PM