REMY Ishak yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adibah Noor. FOTO Azhar Ramli
REMY Ishak yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adibah Noor. FOTO Azhar Ramli
 Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya kenal kak Diba (Allahyarham Adibah Noor) sebelum mula berlakon lagi. Saya sangat sentimental dengan kak Diba. Apabila isteri saya beritahu yang kak Diba meninggal, saya jadi tak terkata. Saya suruh dia semak lagi sebab takut berita itu tak betul. Dia semak lagi dua tiga kali dan agak lama saya terdiam, saya jadi tak tahu nak buat apa."

Demikian reaksi pelakon Remy Ishak ketika pertama kali mendapat perkhabaran kematian penyanyi Adibah Noor, 52, yang menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di sini, kelmarin.

Remy, 40, atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, dia dan Allahyarham sangat rapat walaupun tidak pernah dipaparkan kepada umum.

"Nak kata saya rapat sangat dengan kak Diba mungkin orang tak nampak tapi saya rapat dengan dia. Hari itu masa saya sakit, kak Diba hubungi saya, bagi nasihat dan sebagainya. Jadi saya tak tahu nak kata apa. Bila mengenangkan apa nak buat selepas ini saya tak tahu.

"Saya nampak gambar terakhir dia di Instagram yang dia sangat kurus. Tapi masa itu saya tak tahu, sebab sekarang ini mungkin semua orang nak diet. Tapi, isteri saya cakap ini kurus yang sakit, jadi risau jugalah dan saya tak tahu sakit apa sebab dia pun tak cakap. Selepas itu bila dia dah meninggal barulah pengurusan saya beritahu dia sakit," katanya.

Remy antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Al Ansar Taman Keramat dan Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini, semalam.

Menurut Remy, banyak nasihat yang Allahyarham titipkan buat dirinya selain menyifatkan Adibah seorang yang penyayang.

"Kadang-kadang terjumpa di lokasi penggambaran pun dia akan bagi nasihat. Saya kenal dia lebih daripada seorang penghibur dan dia macam kakak. Dia selalu nasihat berkenaan masa depan, jangan bergantung sepenuhnya kepada dunia hiburan dan buat perkara lain sebab dia lebih berpengalaman. Banyak nasihat dia bagi pada saya bukan sebagai anak seni saja. Sewaktu saya sakit pun dia bagitahu apa yang kena buat. Kak Diba pun melalui fasa itu jadi dia banyak bagi nasihat pada saya

"Kak Diba seorang yang penyayang. Buktinya ramai yang datang beri penghormatan terakhir. Dia pun sangat mudah didekati dan selalu positif. Apa saja yang dibuat, dia selalu positif. Semasa pandemik dia sangat positif," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adibah Noor atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar yang meninggal dunia akibat kanser ovari tahap empat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 11:03 AM