FILEM: Beckett

PENGARAH: Ferdinando Cito Filomarino

PENULIS SKRIP: Kevin A Rice

PELAKON: John David Washington, Boyd Holbrook, Vicky Krieps, Alicia Vikander

TERBITAN: Frenesy Film, MeMo, Rai Cinema, RT Features, Wise Pictures

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

BERMULA dengan satu kisah romantik sepasang kekasih iaitu Beckett dan April, siapa sangka hanya kerana satu insiden mampu mengubah segala-galanya dalam sekelip mata.

Itulah yang dipaparkan dalam filem baharu berjudul Beckett yang ditayangkan di platform digital Netflix.

Dibintangi John David Washington sebagai teraju utama, karakter Beckett digarap dengan tidak keterlaluan, namun memiliki satu perwatakan yang membuatkan penonton cemas.

Secara ringkasnya, Beckett mengisahkan mengenai Beckett dan April yang bercuti di Athens, Greece.

Mereka kemudiannya meninggalkan Athens untuk menuju ke hotel yang terletak di luar kota, namun mereka terbabit dalam satu kemalangan.

Kemalangan itu meragut nyawa April, manakala Beckett pula dibawa ke hospital.

ANTARA babak dalam filem Beckett.
ANTARA babak dalam filem Beckett.

Dalam situasi itu, timbul beberapa persoalan dalam benaknya kerana ketika kereta terjunam ke bawah bukit dan melanggar sebuah rumah usang, dia ternampak seorang kanak-kanak di samping seorang wanita.

Ingin mencari tahu mengenai apa sebenarnya yang berlaku, Beckett akhirnya terjerumus ke dalam satu kes penculikan berprofil tinggi.

Dia diburu oleh pihak berkuasa dan penjahat kerana tanpa sengaja menjadi saksi untuk kes penculikan berprofil tinggi membabitkan ahli politik.

Dari situ, dia terpaksa menyelamatkan nyawanya dan pada masa sama, mencari jalan untuk membawa diri dan mayat kekasihnya pulang ke Amerika Syarikat.

Dari segi jalan cerita, ia tidak terlalu padat dengan aksi, namun perasaan dan emosi cemas itu dapat dirasakan oleh saya sebagai penonton.

Perkembangan plotnya tidak terlalu rancak, namun bagi saya sebagai penonton, sudah pasti menanti-nantikan setiap babak yang akan berlaku.

Segala perasaan dapat dirasakan saat menonton filem ini sepanjang durasi 108 minit tayangannya. Rasa cemas, marah, takut, semua itu bergabung dan membuatkan saya tak keruan.

Menerusi filem ini, dapat dijelaskan bahawa ada beberapa nilai-nilai yang mungkin kita anggap kecil, tapi sebenarnya, besar maknanya seperti kepercayaan.

Beckett membuktikan bahawa tidak semua orang boleh dipercayai. Bahkan, orang yang dianggap paling telus dan baik pun sebenarnya boleh bertukar menjadi pengkhianat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:35 AM