ARMY of the Dead antara karya yang kerap jadi bualan ramai di media sosial.
ARMY of the Dead antara karya yang kerap jadi bualan ramai di media sosial.

FILEM: Army of the Dead

PENGARAH: Zack Snyder

PENULIS SKRIP: Zack Snyder, Shay Hatten, Joby Harold

PELAKON: Dave Bautista, Ella Purnell, Omari Hardwick, Ana de la Reguera dan Theo Rossi

TERBITAN: The Stone Quarry

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalaman menonton filem berkenaan)

KALAU nak diikutkan, ini bukan filem terbaharu yang saya tonton di Netflix. Namun, judul filem Army of the Dead ini menjadi antara karya yang kerap menjadi bualan ramai di media sosial.

Kali pertama saya nampak poster filem ini di Netflix, saya mula tertarik untuk menonton lebih-lebih lagi apabila melihat nama pengarahnya adalah Zack Snyder.

Apabila ditayangkan, saya tidak membuang masa dan terus menonton filem ini.

Pada awalnya, saya beranggapan bahawa ini adalah satu lagi filem zombi seperti mana yang pernah kita tonton sebelum ini.

Namun, ada sedikit kelainan yang membuatkan Army of the Dead ini berbeza daripada filem zombi yang lain.

Babak awalnya sahaja sudah cukup mencemaskan, sekali gus membuatkan saya ingin terus menonton apakah perkembangan plot yang akan disajikan.

BAUTISTA berjaya bawa karakter Scott Ward dengan baik.
BAUTISTA berjaya bawa karakter Scott Ward dengan baik.

Melangkah masuk ke babak yang menunjukkan keberadaan zombi, saya lihat ada zombi harimau dan itu sudah cukup membuatkan saya yakin bahawa Zack Snyder ingin menunjukkan sesuatu yang berbeza.

Tidak lama selepas itu, muncul pula sepasang zombi yang nampaknya boleh berfikir dan menilai. Itu dah menambah, satu lagi 'tahap' untuk karakter zombi dalam filem!

Pelik, tapi unik. Zombi pun dah pandai berevolusi. Lebih aneh lagi, apabila menerusi filem ini kita dapat lihat zombi pun boleh memiliki zuriat.

Dari segi jalan cerita, mungkin tak banyak beza dengan filem lain kerana manusia perlu menyelamatkan diri daripada dimamah zombi. Bezanya kali ini, manusia cuba 'merompak' peti besi.

Dari segi lakonan, Dave Bautista berjaya membawakan karakter Scott Ward dengan baik. Dia digambarkan sebagai bapa yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.

SNYDER ingin menunjukkan sesuatu yang berbeza menerusi Army of the Dead.
SNYDER ingin menunjukkan sesuatu yang berbeza menerusi Army of the Dead.

Karakter Kate Ward lakonan Ella Purnell pula tentunya akan menjadi karakter yang paling dibenci setiap penonton.

Bukan kerana dia adalah karakter antagonis, sebaliknya digambarkan sebagai gadis yang terlalu mengikut emosi, degil, kuat melawan dan suka membuat keputusan tanpa berfikir mengenai kesannya.

Apa pun, karya Snyder kali ini masih mampu menarik perhatian ramai dan menjadi perbualan hangat yang meniti di bibir penonton filem di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 6:30 AM