Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Mira Filzah terus mengukuhkan nama dalam industri hiburan tempatan walaupun sudah berkahwin. Malah, penampilan Mira di kaca TV sentiasa dinantikan peminat.

Selain berjaya mencipta nama sebagai pelakon, Mira, 28, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman turut cemerlang dalam bidang pengacaraan.

Pemilihannya sebagai pengacara program Nona di TV3 membuktikan kemampuan dimiliki.

Tahun ini, Mira masih lagi diberi kepercayaan untuk mengacarakan program yang sudah berusia lebih tiga dekad itu untuk tahun keempat.

Mira berkata, bagi musim 2021 ini banyak pembaharuan sudah dirancang namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari lalu, banyak perkara terpaksa ditunda.

"Alhamdulillah, saya masih mengacarakan Nona bagi tahun keempat. Sebenarnya banyak pembaharuan nak dilakukan. Sebagai contoh, Nona nak jemput setiap bulan bekas pengacara Nona sebelum ini untuk menjadi hos bersama dengan saya.

"Tapi, disebabkan PKP, jadi banyak perubahan. Tarikh pula berterabur. Jadi, perancangan sedikit terganggu. Itu sebab kembali ke asal dulu. Apapun, harapnya selepas ini berjalan seperti yang dirancang awal tahun," katanya.

Menurut Mira, tanggungjawab diberikan untuk terus mengemudi program itu sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi dengan adanya konsep baharu yang sudah dirancang.

Malah, Mira teruja untuk bergandingan dengan bekas pengacara Nona terdahulu.

"Sejujurnya saya gembira dan teruja dengan konsep baharu yang dirancang. Ini kerana sepanjang tiga tahun lepas tidak ada apa perbezaan pun, masih sama. Apabila tahun ini dengan konsep berbeza, jadi saya sangat teruja. Tapi tidak ada rezeki lagi.

"Bagi saya, setiap bekas pengacara Nona masing-masing memiliki keistimewaan dan aura berbeza. Harapnya boleh dapat dalam kalangan mereka ini. Secara peribadi, saya pernah jumpa

Puan Sri Normala Samsudin

dalam program TV lain. Jadi, saya teringin pula nak mengacara bersama dia," katanya.

SERAH soal bila dapat anak kepada ketentuan Allah SWT.
SERAH soal bila dapat anak kepada ketentuan Allah SWT.

Selepas empat tahun bersama Nona, Mira yang juga pelakon drama Pujaan Hati Kanda berkata, program itu sudah sebati dalam dirinya.

Mira mengakui, jika rezeki masih bersama program itu, dia akan terus menyumbangkan khidmat bakti.

"Program Nona ini sudah sebati dengan saya. Untuk kata cukup atau berhenti, bagi saya selagi ada rezeki saya akan terus bersama. Sebab Nona pun progam lama. Jadi, bukan calang orang pegang program ini untuk saya cakap cukup lah.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki dan masih lagi diingini TV3, saya akan teruskan. Lagipun Nona ini tak kacau pun jadual lain. Saya masih boleh buat program dan drama lain pada masa sama mengacara Nona," katanya.

MIRA luah rasa syukur apabila suami tercinta sangat memahami tuntutan kerjayanya.
MIRA luah rasa syukur apabila suami tercinta sangat memahami tuntutan kerjayanya.

Suami okey

Berkongsi mengenai kehidupan selepas berkahwin dengan Wan Emir Astar pada 3 September lalu, Mira berkata, jadual kerja masih padat seperti dahulu.

Namun, Mira meluahkan rasa syukur apabila suami tercinta sangat memahami tuntutan kerjayanya.

"Emir okey, dia sangat faham. Tak pernah mengadu lagi. Kalau saya ulang-alik sampai rumah 2 pagi, dia masih okey. Macam sekarang saya menjalani penggambaran di Port Dickson (PD). Dia tak ada nak teman lagi sebab PD jauh. Tapi ada sesekali kalau membabitkan sesi fotografi, kalau ada waktu lapang dia akan tawarkan untuk ambil. Tapi tidaklah sampai nak teman di lokasi.

"Selepas berkahwin, fasa kehidupan alhamdulillah okey. Dari segi kerjaya saya berasa masih sama seperti dulu. Jadual agak padat juga. Tapi bezanya, kalau dulu balik rumah seorang, sekarang berteman. Mungkin kita juga sudah ada orang boleh bergantung untuk kita minta tolong. Kalau ada suami boleh minta tolong dan banyak benda boleh dipermudahkan," katanya.

Mengenai cahaya mata, Mira menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

"Biasalah, kalau dulu solo orang tanya bila nak kahwin, selepas kahwin tanya pula bila nak dapat anak. Perkara ini akan sentiasa ditanya dan persoalkan. Tapi, insya-Allah kalau ada rezeki saya

akan beritahu, saya akan kongsi.

"Saya serahkan perkara ini kepada ketentuan Allah SWT. Ini semua soal rezeki. Lambat atau cepat, itu semua daripada Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 6:00 AM