Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim. FOTO Arkib NSTP
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau seluruh Perak akan diteruskan selagi mana kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza dan Palestin masih tidak berkesudahan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata bacaan Qunut Nazilah khususnya di setiap solat fardu berjemaah digalak untuk terus dilaksanakan.

"Kita teruskan lagi (Qunut Nazilah), tiada masalah selagi mana (musibah menimpa) sahabat-sahabat kita di Gaza masih lagi belum selesai.

"Kita teruskan dan banyakkan berdoa, (termasuk) kita buat Qunut Nazilah di setiap sembahyang fardu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea Pelancaran TVET Anak Yatim di TAJ International College, di sini petang semalam.

Sementara itu, Harith Fadzilah berkata peruntukan RM15 juta yang diluluskan menerusi Bajet 2024 Perak Jumaat lalu adalah untuk baik pulih dan bina masjid serta surau dengan keutamaan diberikan kepada yang sudah daif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 8:48 AM