Cat Farish kelihatan makin kurus.
Cat Farish kelihatan makin kurus.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, komposer dan pelakon Cat Farish mengakui mulanya panik menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berasa hilang pekerjaan dalam tempoh yang agak lama.

   Bagaimanapun, Cat, 47, atau nama sebenarnya Farish Ramli berkata, dia bersyukur kerana ada sahaja rezeki yang datang tanpa disedarinya.

   "Kadangkala ada juga benda yang tak masuk akal. Saya didatangi tawaran untuk buat reviu produk berbayar, tawaran untuk bekerjasama buat produk membabitkan pertukangan dan 'online talk'.

   "Inilah yang dimaksudkan tak masuk akal kerana ia berbeza dari apa yang dibuat sebelum ini. Namun saya amat berterima kasih dan menghargai peluang-peluang ini," katanya.

   Menurutnya pandemik Covid-19 yang sudah dilalui hampir dua tahun membuatkan sisi positif dan negatif bersarang dalam tubuhnya.

   "Untuk isi masa, saya buat aktiviti tanam pokok, buat mainan kereta guna kotak untuk anak dan banyak habiskan masa dengan keluarga. 

  "Saya tunjuk aktiviti tanam pokok, buat meja dan kabinet dapur ini kepada peminat menerusi akaun media sosial saya. Ia bukan mengenai karier muzik dan seni.

   "Aktiviti ini sebenarnya menguatkan kita dari tertekan dalam dunia yang sedang terkurung sekarang," katanya.

   Cat yang kini tampil dengan drama Cik Ayu Mee Sanggul berkata, dia hanya membuat kerja-kerja menerbitkan lagu dan album pada sebelah malam. 

   "Banyak yang saya belajar masa PKP. Tak dinafikan memang lemas kerana tak boleh buat apa-apa. Nak memberontak pun tak guna. Kita kena duduk dalam dunia itu dan hadam saja apa yang terjadi. 

   "Semua yang berlaku adalah dugaan Allah buat kita semua. InsyaAllah dengan doa-doa dari orang yang terkesan Allah akan bagi ganjaran lebih besar. Kita tak tahu benda ini," katanya.

   Dalam perkembangan lain, Cat kini sedang menghasilkan buku berjudul Bucu Kasar Pujangga yang kini prosesnya sudah siap kira-kira 70 peratus bermula sekitar tiga bulan lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 9:34 PM