Cat Farish dan Shikin dedah berdepan perkara mistik
Cat Farish dan Shikin dedah berdepan perkara mistik
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Cat Farish berkongsi mengenai perkara mistik yang berlaku kepada perniagaannya dan isteri, Shikin Maembong sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli ketika ditemui di sidang media Malaysia Hobby Expo 2023 yang berlangsung di sebuah hotel di sini berkata, perniagaan mereka diduga sejak tiga bulan lalu selepas melalui pelbagai situasi aneh.

"Dari sudut perniagaan, ada sedikit perkara yang tidak menyeronokkan berlaku kerana saya dan isteri dilanda oleh 'sesuatu'. Orang cakap, ini berkaitan dengan buatan orang. Ada yang kata, kami terkena di satu acara yang kami sertai.

"Selalunya, kami berjaya menjual lebih kurang 200 kilogram hingga 300 kilogram pisang. Namun, sekarang 50 kilogram pun tak habis dijual," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Cat, dia yang pada awalnya tidak mahu terlalu percaya mengenai perkara mistik itu mula rasa sangsi apabila menemui banyak wang syiling di salah satu gerai jualan yang mereka buka di satu acara usahawan di Kedah.

"Saya dan isteri ada terjumpa wang syiling dan bila dirujuk, ada yang mengatakan itu sebagai salah satu tanda orang hantar 'sesuatu'.

"Bukanlah saya nak percaya sangat mengenai wang syiling itu. Namun, tak masuk akal sebab kami tak gunakan wang syiling yang banyak. Lebih pelik lagi, ada wang syiling dari Thailand.

"Bila saya rujuk kepada ustaz, dia minta saya untuk ambil itu dengan tangan yang berlapis dan kumpulkan di satu tempat atau bekas, kemudian tutup.

"Selain itu, ada berlaku juga beberapa insiden lain termasuklah kaki staf saya bengkak-bengkak. Jadi, saya dan isteri tarik diri dari acara-acara berkaitan keusahawanan dan tidak membuka gerai jualan. Kami hanya buka perniagaan di rumah sahaja buat masa sekarang," katanya.

Tambah Cat, dia juga tidak mahu situasi yang berlaku itu memberi kesan kepada rumah tangganya kerana sedikit sebanyak, apa yang berlaku mengganggu emosi mereka sebagai suami isteri.

"Salah satu sebab adalah kerana kami tak mahu apa yang berlaku turut memberi kesan kepada rumah tangga kami. Bahkan, isteri saya pun pernah muntah dan keluar benda yang berantai dan ada yang nampak seperti rambut," katanya.

Sementara itu, Shikin turut berkongsi mengenai situasi misteri yang turut mengganggu kesihatannya.

"Saya dah lama tak kena serangan asma. Tapi, sejak dugaan ini menimpa rumah tangga dan perniagaan kami, tiba-tiba saya kena serangan asma semula dan terpaksa menggunakan bantuan alat oksigen.

"Saya akui, saya memang menangis atas apa yang berlaku kerana ia membabitkan usaha dan kerja saya dalam perniagaan," katanya.

Cat dan kumpulan Ruffedge akan mengadakan persembahan di Konsert Passion of Sound pada 2 Disember ini, yang juga menjadi sebahagian daripada kemuncak acara Malaysia Hobby Expo 2023.

Malaysia Hobby Expo 2023 yang akan berlangsung selama dua hari pada 2 dan 3 Disember ini akan turut menyaksikan persembahan artis popular iaitu Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Saixse dan Hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:58 PM