RAP HM

Kuala Lumpur:  Bekas penyampai radio, Najman Mohamed, 51, berkongsi berita duka apabila kehilangan ahli keluarga iaitu adik dan adik iparnya, akibat Covid-19.

Najman menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan adik lelakinya, Azman Mohamed, 45, meninggal dunia pada 22 Julai lalu, manakala isteri Allahyarham, Norashima Ramli, 44, pula meninggal dunia pada 24 Julai.

Menurut Najman, Allahyarham adiknya dan keluarga dijangkiti Covid-19 dan kini tiga anak saudaranya masih mendapatkan rawatan lanjut.

"Janji Allah itu pasti, mati itu pasti, kami reda dengan ketentuan Allah. Mereka Allah ambil ke negara abadi disebabkan Covid-19.

"Masyaallah pemergian kamu berdua. Cinta sejati hingga ke mati. Bakal menjadi ingatan dan kenangan. Moga berada di taman-taman syurga. Sakit kamu syahid," tulisnya.

Menerusi hantaran dibuat, Najman turut memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak-anak Allahyarham iaitu Aina, 21, Danish Qawiem, 16 dan Jazel, berusia lima tahun daripada wabak itu.

Difahamkan Danish kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor manakala Aina dan Jazel pula masih menerima pemerhatian rapi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Terdahulu, dilaporkan Allahyarham Azman meninggal dunia pada jam 8.44 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala Norashima pula menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 petang di Hospital Serdang, Selangor.

Pada 15 Julai lalu, Najman juga kehilangan abang sepupu, Allahyarham Ismail Hashim yang meninggal dunia disebabkan Covid-19. Justeru, dia meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Untuk rekod, bagi penggemar radio di negara ini nama Najman pastinya tidak asing kerana dia pernah berkhidmat di stesen radio popular seperti Era dan Sinar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:39 PM