ISSEY memuat naik status di Instagram mengenai pemergian ibunya ke rahmatullah. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Issey
ISSEY memuat naik status di Instagram mengenai pemergian ibunya ke rahmatullah. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Issey
Najiy Jefri


HASRAT penyampai radio dan pelawak, Issey untuk membawa ibu tercinta, Asiah Haron, 62, mengerjakan ibadah umrah hujung tahun ini tidak kesampaian apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

Allahyarham Asiah meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan jam 3.40 petang tadi.

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 32, menerusi Instagram Story berkata, dia sempat bertemu ibunya namun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Tiga hari ma (ibu) duduk dalam wad sebab demam dan tekanan darah rendah. Pagi tadi saya dapat pesanan mesej daripada anak buah kata ma kena serangan jantung.

"Jam 3.40 petang ma pergi tinggalkan semua orang. Saya sempat jumpa ma, tapi dalam keadaan ma dah tak sedar," tulisnya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Ketereh, Kota Bharu.

"Jenazah ma akan dikebumikan malam ini. Insya-Allah selepas solat Isyak di Batu 11 Ketereh. Kampung ma," tulisnya lagi.

Terdahulu Issey memberitahu ibunya mengalami kecederaan akibat terjatuh di rumah pada 6 Julai lalu sehingga menyebabkan patah tulang paha.

Sebelum ini arwah turut menghidap penyakit kencing manis dan perlu mendapatkan penjagaan rapi.

Berita berkaitan

Ibu Issey meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:51 PM