EZAD Lazim
EZAD Lazim
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Ezad Lazim selamat menjalani pembedahan akibat masalah gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (GERD) di pusat perubatan di Shah Alam pagi, hari ini.

Isterinya, Zeana Ramli ketika dihubungi berkata, Ezad dimasukkan ke hospital itu selepas mengalami kesakitan berterusan.

"Dia terlebih dulu dimasukkan ke bilik pembedahan untuk proses scope dan doktor mendapati banyak asid di bahagian lidah.

"Ezad mengalami muntah tanpa henti seperti yang berlaku pada 2016 dan 2017 serta kali terakhir pada Disember 2018. Puncanya kali ini dia makan durian kunyit dalam keadaan perutnya kosong," katanya. Menurutnya, menerusi pembedahan itu doktor membuang sebiji batu hempedu, hempedu dan mengecilkan saluran pemakanan menerusi cara jahitan.

"Bacaan diabetisnya 12 berbanding ketika dimasukkan ke Hospital Putrajaya, Ahad lalu iaitu 20. Namun keesokannya turun kepada 6.5.

"Ezad tak mahu ditahan di wad dan dibawa pulang ke rumah Selasa lalu. Semalam, saya bawa dia ke sini kerana ada kenalan doktor pakar GERD.

"Selepas pembedahan suara Ezad akan serak dan dia hanya boleh makan makanan seperti diberikan kepada bayi. Doktor juga minta dia kawal bacaan diabetis," katanya.

Menurutnya, suaminya kini berehat dan kemungkinan esok dibenarkan pulang ke rumah.

Terdahulu penyanyi lagu Demi Cinta ini ke Gua Musang, Kelantan untuk kerja-kerja pertanian.

Dia mencari benih untuk beberapa tanaman kerana merancang untuk mengerjakan dusun.

Difahamkan Ezad juga makan durian dan juga membawa balik buah durian dari sana.

Dia seterusnya mengalami muntah-muntah dan tidak lama kemudian, diserang panik.

Ini memaksa Zeana membawanya ke Hospital Putrajaya untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:36 PM