MASYA Masyitah diberi pelepasan selama empat hari pulang ke kampung halaman meraikan Syawal bersama keluarganya. FOTO IG Masya Masyitah
MASYA Masyitah diberi pelepasan selama empat hari pulang ke kampung halaman meraikan Syawal bersama keluarganya. FOTO IG Masya Masyitah
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: "Yang pjj (Tinggal jarak jauk) mak bapak ko... Apa kena mengena dengan ko... Mana boleh ko guna tiket rentas negeri atas alasan pjj... Ahhh tak kira. Mohon #PdrmMalaysia Ambil maklum. Ini kes kayangan ke apa?"

Itu antara komen pengguna akaun di laman Facebook yang bengang apabila penyanyi Masya Masyitah mendapat perlepasan rentas negeri atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Menerusi artikel yang dikeluarkan sebuah portal berita, semalam, Masya berpeluang meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan berkumpul bersama keluarganya di Kulim, Kedah selepas ibunya terpaksa terpisah dengan bapa serta adik beradiknya di Kulim, berikutan tidak boleh merentas negeri pada sambutan raya tahun lalu. 

Bagaimanapun Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff serta ibunya beruntung apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama bapa, abang dan adiknya apabila diberi pelepasan selama empat hari pulang ke kampung halaman sejak 10 Mei lalu. 

"Satu nikmat tidak terkata dapat bersua dengan ayah, abang dan dua adik lelaki. Saya dan ibu lepas merentas negeri selepas membuat permohonan atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

"Biarpun hanya empat hari sahaja, tetapi saya mahu memanfaatkan tempoh ini sebaik mungkin. Saya akui, tidak sabar beraya sakan di kampung halaman.

"Pagi raya dapat bermaafan dengan ibu bapa dan adik beradik seperti sebelum pandemik Covid-19. Kali terakhir kami beraya bersama pada 2019. Saya pastinya memanfaatkan ruang peluang ini merakamkan kenangan bersama keluarga," katanya. 

Selepas artikel terbabit diterbitkan, Masya dihujani pelbagai kecaman termasuk ramai yang mempertikaikan tindakannya berkongsi perkara itu. 

"Salah seorang tak cerdik. Dah tahu buat benda salah janganlah heboh 1 Malaysia. Dah nama raya pasti berjuta anak perantau sakit hati tak dapat balik kau yang dapat balik pergi heboh bergambar.

"Ya Kami tahu kamu buat alasan kukuh dan Allah permudahkan bagi berjumpa dengan keluarga tapi andai kamu senyap tak payah heboh lagi baik... Biar 1 Malaysia tak tahu.. Bila 1 Malaysia dah tahu tak fasal tak ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kena denda," tulis pemilik akaun Kasma Kasma. 

Sementara itu, seorang lagi pengikut mendakwa dirinya tidak berjaya rentas negeri biarpun mempunyai alasan kukuh untuk menziarahi bapanya di kampung. 

"Aku ayah 7/5 kemalangan kat tempat kerja... Esoknya aku pergi balai polis minta balik tengok ayah cedera, tapi kata polis aku nak balik raya. Jadi tak dibenarkan rentas negeri. 

"Dua hari kemudian aku pergi balai lain untuk mint kebenaran rentas negeri atas alasan yang sama. Nak balik tengok ayah cedera pun tak lepas sebab polis kata aku nk balik beraya," tulis pemilik akaun Ida Idania. 

Seorang lagi pengikut menerusi akaun Mael Muhd berkata, sepatutnya ibu Masya seorang sahaja dibenarkan untuk merentas negeri. 

"Berita yang meretakkan hati rakyat Malaysia. Sepatutnya ibunya seorang saja yang boleh rentas kerana pasangan jarak jauh.... tidak termasuk anaknya.... Double standard senang cakap," tulisnya. 

Terdahulu kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermila 12 Mei sehingga 7 Jun ini. 

Susulan pelaksaan itu larangan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh. 

Sementara itu, usaha Harian Metro bagi mendapatkan penjelasan daripada Masya gagal apabila mesej dan panggilan telefon tidak berjawab.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 4:37 PM