Masya Masyitah
Masya Masyitah
Norhayati Notdin


PENYANYI Masya Masyitah mendedahkan dia berjaya membeli rumah secara tunai bernilai RM300,000, pada tahun lalu ketika berusia 19 tahun.

Masya, 20, yang berasal dari Kulim, Kedah ditemui berkata keseluruhan wang itu diperolehnya daripada pembabitan serius dalam kerjaya nyanyian.

"Saya sudah menyanyi sejak kanak-kanak lagi, termasuk banyak menyertai pertandingan nyanyian dianjurkan. Jadi, saya dah kumpul duit dari kecil dan Alhamdulillah, kini dapat beli rumah.

"Pembelian dibuat secara tunai kerana lebih mudah dan saya tak perlu terikat dengan kadar faedah pinjaman di bank. Apatah lagi, saya tiada kerja tetap yang mempunyai penyata gaji bulanan. 

"Apapun, saya amat bersyukur sudah memiliki aset sendiri seperti rumah dan kereta, hasil daripada aktif menyanyi selama ini,' katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada kereta juga dibeli secara tunai, Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah Yusoff berkata dia membuat pinjaman bank untuk kenderaan.

Mengulas dirinya yang dikait menunjuk kemewahan apabila berkongsi video dekorasi dan tatarias dalam kediamannya di YouTube. Masya berkata ia sekadar perkongsian buat peminat.

"Apa yang saya tunjukkan dalam video di YouTube itu hanya perkongsian biasa kepada peminat yang menyokong selama ini. Tidak ada niat nak menunjuk-nunjuk langsung.

"Bagaimanapun, saya tahu tidak semua yang dilakukan atau ditunjuk kepada umum itu disukai orang lain. Pasti, ada segelintirnya yang akan beri komen negatif," katanya.

Masya yang baru setahun menduduki kediamannya di Cheras berkata dia membeli kondominium itu kerana mudah baginya untuk lebih aktif dalam kerjaya nyanyian di ibu kota.

Tinggal bersama ibunya, Masya memberitahu dia memang suka menabung sejak kecil. Katanya, semoga apa yang dilakukan menjadi inspirasi kepada golongan belia lain.

Pernah muncul juara program Ceria Popstar musim kedua di bawah bimbingan Hazama pada 2014, kini Masya popular dengan lagu Halimunan dan terbaharu, Hapus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 11:04 AM