Sofiatul Shima Wan Chik


Menanam resah dan rindu dalam kalangan peminat, Spider muncul dengan Ankabut untuk menjelaskan rasa yang tersimpan.

Masih dalam kandungan rasa dan kualiti bahasa yang sama, album keenam itu menyaksikan kelainan bermula dari pembikinan album ini sendiri.

Kumpulan dianggotai Tam, Aie, Nafie dan Iss memulakan pembikinan album itu beberapa tahun lalu dengan desiran ombak dan sepoi angin bahasa laut.

Suasana damai dan santai itu meninggikan rasa dan ketajaman ilham mereka dalam menghasilkan album kali ini.

Kata Aie, mereka berkampung selama seminggu di Lanjut, Rompin, sesuatu yang baru buat mereka kerana lima album terdahulu dihasilkan sepenuhnya dalam studio.

“Sebelum ini kami tidak berpeluang berkampung di luar dan menghasilkan album. Jadi kami ambil peluang dan berkeras untuk menjayakan album ini dengan suasana berbeza.

“Memang lain kerana bangun tidur sahaja semua bersemangat membuat lagu. Fokus memang tertumpu pada pembuatan lagu,” katanya.

Hasilnya, Ankabut menyaksikan penyediaan berbelas lagu kemudian disaring dengan pemilihan 10 lagu terbaik. Antaranya lagu Ayat Penyengat yang berkumandang di radio tahun lalu.

Tam yang juga vokalis Spider berkata, Ankabut bermaksud labah-labah menyaksikan Spider pada dasar yang sama. Hala tuju muzik masih serupa namun dari sudut teknikal melalui perubahan.

Album edaran Luncai Emas itu menyaksikan sisi ‘hilang’ Spider namun untuk survival 20 tahun, mereka melaluinya dengan hati yang tabah dan terbuka.

“Sebenarnya sudah dua album kami berasakan kehilangan air tangan Loloq dalam pembikinan lirik buat kami. Dialah insan yang memahami penceritaan kumpulan ini.

“Secara peribadi, ada ralat namun itu tidak bermakna insan lain tidak sama taraf sebaliknya kami mendapat bukan calang-calang orang menulis lirik untuk lagu-lagu kami seperti Datuk M Nasir dan Keon,” kata Tam.

Kehilangan kedua yang mereka hadapi adalah pemain bass asal mereka, Tony yang kini digantikan dengan Iss yang pernah menyertai kumpulan Bau. Tony meninggalkan Spider atas kerelaan hatinya.

Bagi Tam, semua itu perlu mereka lalui dan tidak boleh sentiasa rasa selesa dalam sesuatu keadaan.

Selama 20 tahun dalam industri seni tempatan, semua yang mereka lalui banyak mengajar dan membawa apa yang dikecapi ke hari ini.

Tam berkata, dalam berkarya mereka tanamkan dalam hati supaya menjaga bahasa dan kecantikan seni setiap kali mengeluarkan lagu. Ini tanggungjawab yang sering mereka galas selain menghasilkan lagu-lagu berkualiti.

“Kami percaya seni kata akan menjadi peninggalan satu hari nanti. Jadi kita perlu menghasilkan sesuatu yang dibanggakan tidak hanya untuk anak-anak kami tetapi juga buat masyarakat. Ini tanggungjawab setiap pengkarya,” katanya.

Majlis pelancaran Ankabut dilakukan hari ini di Panggung Budaya, Fakulti Muzik Seni Persembahan, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Spider turut mengadakan persembahan buat peminat yang merindui buah tangan terbaru mereka tepat jam 8 malam. Mereka juga mengeluarkan kemeja T khas direka oleh Randuk khusus buat pencinta Spider.

Popular dengan lagu Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi dan Kasih Latifah, Tam juga akui Spider turut mengimpikan konsert besar.

Katanya, setiap penyanyi mengimpikan konsert besar tetapi sedar semua itu memerlukan persediaan mental dan fizikal yang cukup.

“Kami paling impikan untuk dekat dengan peminat di luar bandar atau Felda yang sudah lama ingin kami temui. Semoga satu hari nanti impian ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:04 AM