Zakaria Abdul Hamid.
Zakaria Abdul Hamid.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menafikan akan ada ketirisan dan pilih kasih dalam pemberian dana kepada penggiat seni.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, permohonan adalah mengikut prosedur berkonsepkan tender.

"Penilaian adalah telus, mengikut merit tanpa pilih kasih atau kronisme. Bermula tahun lalu, mana-mana syarikat atau individu hanya layak menerima satu tawaran saja sehingga kerja disiapkan. Kaedah ini bertujuan untuk memberi peluang kerja kepada seramai mungkin penggiat seni," katanya.

Zakaria menasihatkan semua penggiat seni supaya selalu menyemak media sosial Finas untuk mendapatkan maklumat tender kerja.

"Ramai yang menghubungi saya minta pengecualian selepas tarikh tutup dan memang sistem Finas tidak dapat memberi pertimbangan.

"Saya juga menyeru supaya jangan putus asa apabila gagal sekali, teruskan memohon kerana Finas ada dana untuk seramai mungkin mendapat manfaat," katanya.

Dalam pada itu, Finas berbesar hati dengan keputusan kerajaan yang memperuntukkan dana RM100 juta untuk industri kreatif menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dijangka memanfaatkan hampir 8,000 penggiat seni.

Zakaria berkata, peruntukan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) dan penyalurannya tertakluk kepada cadangan agensi-agensi seni kreatif.

"Finas sudah merangka program-program kecil yang mudah pelaksanaannya dan penyaluran dana kepada individu seperti menghasilkan video pendek, iklan pesanan awam, ulasan novel untuk skrip dan pelbagai lagi. Ini termasuk mencungkil bakat, dana akan dapat menjadi sumber pendapatan dalam tempoh enam bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:35 PM