AT Adau ingin menjadikan muzik etnik lebih komersil.
AT Adau ingin menjadikan muzik etnik lebih komersil.
Syafil Syazwan Jefri


API perjuangan untuk membawa muzik etnik dengan corak world music tidak pernah padam dalam diri setiap anggota kumpulan At Adau dari Sarawak ini.

Dianggotai Meldrick Bob Udos (djembe, gendang Iban, perkusi dan dram), Jackson Lian Ngau (sentong dan gendang Bidayuh), Ezra Tekola (sape), Luke Wrender David (sape), Cedric Riseng (gitar) dan Alfanso McKenzie (bass), At Adau ini ingin terus membawa muzik mereka menembusi pasaran arus perdana.

Disebabkan itu, At Adau meletakkan matlamat untuk bekerjasama dengan pemuzik untuk memberi imej baru kepada nama serta karya muzik mereka.

Meldrick atau mesra disapa Bob berkata, At Adau sememangnya menyimpan impian ke arah itu.

"Bagi peminat kami, mereka sedia maklum mengenai muzik yang kami bawakan iaitu muzik yang cenderung kepada world music.

"Jadi, menjadi matlamat kami untuk bekerjasama dengan artis-artis lain, sekali gus memberi satu imej baru kepada kami dan genre muzik yang kami bawakan supaya lebih sesuai untuk pasaran komersil.

"Kalau diberi peluang, antara nama-nama yang kami ingin bekerjasama adalah Zee Avi, Dayang Nurfaizah atau Joe Flizzow," katanya.

ENAM anak muda sarawak yang mahu memperjuangkan seni dan muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.
ENAM anak muda sarawak yang mahu memperjuangkan seni dan muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Berkongsi lanjut mengenai hala tuju muzik mereka ke dalam aliran arus perdana, At Adau ingin memperkenalkan alat-alat muzik tradisional yang boleh diserapkan dalam penghasilan karya komersil.

"Salah satu cita-cita kami adalah untuk mengkomersilkan alat muzik tradisional agar ia boleh diserasikan dan disuntik ke dalam karya-karya komersil yang lebih moden.

"Selain alat muzik, sekiranya impian dan usaha kami itu berhasil, kami ingin juga memperjuangkan atau memperkenalkan bahasa-bahasa ibunda kami di sini dan kongsi dengan dunia," katanya.

At Adau yang baru-baru ini tampil membuat persembahan secara virtual di acara Rainforest World Music Festival 2021 turut berkongsi mengenai single terbaru mereka, Kaban Belayan.

"Kaban Belayan membawa maksud sahabat handai dalam bahasa Iban. Secara ringkasnya, lagu ini mengisahkan mengenai persahabatan.

"Apabila kita berbicara mengenai persahabatan atau kawan, detik terindah adalah apabila kita dapat berkumpul bersama-sama dan berkongsi cerita. Jadi, Kaban Belayan membawa pendengar untuk mendalami cerita mengenai sahabat yang sentiasa ada di sisi kita dalam susah mahupun senang.

"Ramai yang terjejas dalam pandemik seperti sekarang termasuklah kawan-kawan kita. Kami harap, lagu ini dapat menjadi penghibur buat kita semua sekali gus membawa mesej positif kepada setiap yang mendengar," katanya.

Kaban Belayan kini masih dalam proses akhir sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:46 AM