AT ADAU
AT ADAU
Syafil Syazwan Jefri

Kumpulan muzik etnik dari Sarawak, At Adau bakal menghangatkan Rainforest World Music Festival (RWMF) 2021 yang akan berlangsung secara virtual mulai esok hingga Ahad ini.

At Adau yang pernah membuat persembahan secara langsung di acara sama sejak 2017 ketika dihubungi berkata, ini adalah kali pertama mereka membuat persembahan secara rakaman virtual tanpa kehadiran penonton.

"Perasaannya sangat berbeza jika kita bandingkan antara persembahan di depan penonton secara langsung dengan rakaman di depan kamera.

"Namun, tenaga yang kami rasakan tetap sama dan kami tetap hargai peluang ini untuk menyemarakkan lagi acara itu," kata pemain dram, djembe, gendang Iban dan perkusi, Meldrick Bob Udos kepada Harian Metro.

Pemain sentong dan gendang Bidayuh, Jackson Lian Ngau berkata, timbul rasa kekok kerana ini adalah kali pertama buat mereka berdepan pengalaman ini.

"Memang ada rasa kekok sebab selalunya kami dapat berinteraksi dengan penonton. Namun, bila hanya ada kamera di depan, rasa lain.

"Tapi, yang bagusnya adalah bila ia adalah rakaman, kami dapat ulang untuk berikan persembahan terbaik. Jadi, kami ulang sebanyak dua kali," katanya.

Di RWMF 2021, At Adau bakal mempersembahkan lagu medley khas untuk mengubat kerinduan peminat-peminat mereka.

Selain Meldrick dan Jackson, At Adau turut dianggotai Ezra Tekola (sape), Luke Wrender David (sape), Cedric Riseng (gitar) dan Alfanso McKenzie (bass).

At Adau adalah kumpulan pemuzik etnik dari Sarawak yang memperjuangkan 'world music' dalam karya mereka sekali gus ingin membawa genre ini sebaris dengan muzik komersial lain.

Tidak hanya At Adau, RWMF 2021 juga akan dihangatkan dengan persembahan barisan pemuzik lain antaranya Alena Murang, Kemada, Sang Rawi, Tuku Kame, Suk Binie', Nading Rhapsody dan Mathew Ngau serta imbasan persembahan muzik daripada acara pada tahun-tahun sebelumnya.

RWMF 2021 boleh ditonton di laman web https://virtualrwmf2021.xpoexpo.com bermula esok jam 6 petang hingga 7.30 malam manakala pendaftaran dibuka bermula 14 Jun lalu di laman web sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:32 PM