FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Seorang lelaki yang hadir memberi keterangan di Balai Polis Kampung Baru Subang di sini, pagi tadi, tiba-tiba mengadu sakit di bahagian dada dipercayai akibat terkena serangan jantung.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hantaran di Facebook berkata, terdahulu, lelaki itu hadir bagi memberi keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil.

"Lelaki itu tiba-tiba menunjukkan simptom terkena serangan jantung iaitu mengalami sakit di bahagian dada.

"Melihat keadaan itu, Koperal Faizel Kamal Mustapha dan Lans Koperal Emirza Aqmall Sulong yang sedang bertugas segera menghulurkan bantuan serta menghubungi ambulans.

"Bantuan awal diberikan kepada pesakit selepas ambulans tiba di lokasi," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, PDRM menghargai tindakan pantas dan keprihatinan yang ditunjukkan kedua-dua anggota berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 4:29 PM