Nazri menunjukkan anugerah Ikon Media 2022 diterimanya, kelmarin.
Nazri menunjukkan anugerah Ikon Media 2022 diterimanya, kelmarin.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran menerima anugerah Media Icon of the Year (Ikon Media 2022) pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2022 (BBEA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin.

Nazri berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan sentiasa berada di belakangnya.

"Saya berterima kasih kepada individu yang sentiasa berada di belakang dan berjuang bersama-sama saya bagi mencapai kejayaan dalam apa juga cabaran dihadapi.

"Saya mendedikasikan anugerah ini kepada keluarga MPA sebagai simbol dan pembakar semangat untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi," katanya.

Mempunyai pengalaman luas lebih 21 tahun dalam bidang penyiaran radio, karier Nazri bermula pada tahun 2001 dan dikenali kerana kepakaran menyediakan kandungan yang mampu menawan hati pendengar tempatan. 

Tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bertanggungjawab ke atas strategi dan operasi keseluruhan MPA dalam mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rangkaian radio yang popular. 

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Bisnes dan Pengurusan dari University Liverpool, Nazri juga sudah memacu pemulihan perniagaan MPA sejak dilantik awal Jun tahun lalu.

Atas sebab itu, beliau diiktiraf di atas sumbangannya kepada industri penyiaran radio serta pencapaian yang sudah dicapai oleh MPA setakat ini. 

Untuk rekod, Anugerah BBEA ini berperanan menyokong dan menghargai golongan usahawan Bumiputera di tanah air yang berjaya dan cemerlang dalam lapangan perniagaan masing-masing.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:40 PM