Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon popular Rozita Che Wan mencabar diri dengan menyanyikan jingle bagi sebuah jenama produk kecantikan yang melantiknya sebagai duta.

Bagaimanapun, Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata pembabitannya itu bukan bermaksud dia mahu bergerak secara serius sebagai penyanyi malah jauh sekali bersaing dengan penyanyi profesional sedia ada. 

"Janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia bukan lagu komersial.

"Lagu ciptaan DJ Fuzz ini hanya untuk promosi produk Mylea dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut. Malah sudah dimainkan di corong radio," katanya.

Menurut Che Ta, dia pada mulanya tidak yakin menyanyi disebabkan tidak mempunyai vokal sedap.

"Saya pun tak rasa ada vokal yang bagus macam penyanyi lain. Tapi disebabkan pengasas produk mahu saya menyanyi. Saya cabar diri.

"Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap pada Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun.

"Bahkan saya cakap mesti yang puji saya boleh menyanyi itu sekadar nak ambil hati. Dalam erti kata lain, bohong 'sunat'," katanya.

Dalam masa sama, Che Ta mengakui tidak mahu memikirkan apa kata orang apabila dia menjayakan projek nyanyian itu.

"Saya sudah biasa dengan segala yang negatif. Tapi itu tak pernah jadi kudis," katanya yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:26 AM