Ezuwan ketika merakamkan lagu raya.
Ezuwan ketika merakamkan lagu raya.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Apa yang pasti suara aku tak perlu 'auto tune' ya. Asli dari tekak. Nyanyi secara langsung pun sedap."

Itu kata pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail yang turut berjinak-jinak dalam bidang nyanyian apabila merakamkan single raya berjudul Lambaian Pagi Syawal.

Malah, menerusi hantaran di Instagram, Ezuwan turut membandingkan vokal dimiliki dengan seorang lagi personaliti bergelar Datuk yang turut merakamkan lagu raya.

"Tak payah menyanyi guna 'auto tune' sangatlah. Tahulah tahap keyakinan dia tinggi sampai boleh 'terpelanting' penyanyi sedia ada lain.

"Saya pun pernah dikecam tak nyanyi bagus sampai pernah dicarut menyanyi seperti tercekik sudu oleh Rozita Che Wan. Namun saya rasa mutu vokal sendiri taklah seteruk dia. Saya siap masuk kelas vokal. Pendek kata suara saya lagi bagus berbanding dia.

"Dia yang banyak kali keluar lagu pun, tak ada peningkatan langsung. Baik tak payah menyanyi sebab memang tak boleh menyanyi pun. Tahulah dia banyak duit, tapi rasanya cukup cukuplah. Lebih baik dia fokus perniagaan dan buat viral macam selalu," katanya.

Ditanya mengenai tindakannya menyindir secara sinis individu terbabit, Ezuwan berkata dia hanya menegur.

"Saya mengenali dirinya dan masing-masing pernah bersua dan bertegur sapa di beberapa majlis tertentu. 

"Saya rasa tak salah menegur. Sampai bila nak biarkan dia berfantasi buat benda yang tak perlu seperti menyanyi. Betul dia ada duit dan kaya, tapi lebih baik dilaburkan untuk benda mendatangkan untung.

"Saya pun menyanyi atas paksi ukur baju di badan sendiri. Setakat berangan biasa-biasa itu adalah. Jauh sekali nak berentap pada Anugerah Juara Lagu dan acara muzik lain. Saya realistik," katanya.

Lagu Lamabaian Pagi Syawal adalah ciptsan komposer otai, S Atan dan lirik Siso Kopratasa. Ia dirakamkan pada 10 Mac lalu.

Sebelum ini Ezuwan pernah muncul dengan E1 Band bersama dua lagi anggotanya, Zulyasrani dan Ariff Imran pada 2019. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:06 AM