Sudirman Mohd Tahir


KUMPULAN baru, E1 yang dianggotai pereka fesyen Ezuwan Ismail, Ariff Imran dan Zulyasrani terbuka menerima maklum balas daripada mana-mana pihak mengenai tahap vokal mereka.

Malah, kritikan daripada pelakon Rozita Che Wan yang mendakwa vokal seorang pereka fesyen yang bergelar penyanyi seperti tercekik sudu bukan penghalang untuk mereka terus melangkah dalam bidang ini.

“Saya dapat tahu perkara ini daripada rakan. Menerusi status itu Rozita tidak menyatakan dengan jelas siapa pereka fesyen itu. Sekiranya betul ia ditujukan kepada saya, saya terima dengan hati terbuka. Malah, saya akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan.

“Diakui saya bukan penyanyi profesional, tetapi Zul dan Ariff ada asas dalam bidang ini. Namun, saya ambil inisiatif mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafie dan Bob Yusof.

“Bukan saja mereka, tetapi komposer lagu ini iaitu Asfan Shah mengakui saya boleh menyanyi dan ada ‘tone’ sendiri, cuma kena gilap dan berlatih lagi. Sehingga sekarang pun, saya masih pergi kelas vokal termasuk Ariff dan Zul,” kata Ezuwan mewakili E1.

Pereka fesyen, Ezuwan Ismail (dua kanan) bersama kumpulannya E1 Zulyasrani (kanan) dan Ariff Imran. FOTO - Nurul Shafina Jemenon
Pereka fesyen, Ezuwan Ismail (dua kanan) bersama kumpulannya E1 Zulyasrani (kanan) dan Ariff Imran. FOTO - Nurul Shafina Jemenon

Ezuwan berkata, mereka bersedia menerima kecaman peminat muzik tempatan menerusi single pertama yang baru dilancarkan iaitu Semalam Sahaja.

Menurut Ezuwan, kemunculan mereka bukan untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, malah jauh sekali bersikap syok sendiri apabila turut muncul dengan muzik video.

“Apabila menyuarakan hasrat untuk muncul sebagai penyanyi pada November tahun lalu, ini bermakna saya memang serius. Saya bersungguh-sungguh masuk dalam bidang ini dan mula berbincang dengan pengurus.

“Dari situ kami mulakan pencarian anggota kumpulan. Sebab saya memang tak mahu muncul solo. Saya nak berkumpulan sebab ia lebih meriah.

“Dalam masa sama, memandangkan saya pereka fesyen, jadi saya nak menggabungkan elemen ini dalam muzik kami. Jadi, saya nak fesyen dan muzik bergerak seiring. Buktinya dapat disaksikan dalam muzik video kami,” katanya.

Lagu berentak retro ciptaan Asfan Shah itu dicipta bagi memberikan kelainan kepada kemunculan mereka sebagai penyanyi baru.Muzik video rasmi lagu Semalam Sahaja sudah dilancarkan di saluran YouTube Indigital Sdn Bhd yang juga pengedar lagu ini.

STATUS yang dimuat naik di Instagram Story Che Ta. FOTO - Instagram Rozita Che Wan
STATUS yang dimuat naik di Instagram Story Che Ta. FOTO - Instagram Rozita Che Wan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 8:35 PM