CHE Ta syukur masih dilantik menjadi duta pada usia 49 tahun.
CHE Ta syukur masih dilantik menjadi duta pada usia 49 tahun.
Sudirman Mohd Tahir


PERNAH disahkan positif Covid-19, pelakon popular Rozita Che Wan, 49, atau Che Ta mengakui dirinya berasa paranoid apabila dikelilingi ramai orang.

Che Ta berkata, perasaan itu dirasainya kerana sudah melalui pengalaman kesakitan yang menjerihkan apabila dijangkiti virus itu bulan lalu.

Disebabkan itu, apabila diundang ke acara keramaian, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta pereka untuk mencipta busananya yang patuh prosedur operasi standard (SOP).

Ini kerana dia bimbang sekiranya ada yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial semata-mata ingin bergambar dengannya.

"Boleh tengok rekaan pada bahu baju saya, fesyen itu bukanlah sekadar suka-suka, tetapi demi mengelakkan orang berhimpit-himpit dengan saya sewaktu bergambar.

"Tidak mustahil akan berlaku di mana keadaan akan ada orang yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial semasa bergambar," katanya.

Dalam masa sama, Che Ta berkata, dia juga terpaksa mengambil langkah berhati-hati apabila meminta mereka yang berada di lokasi penggambaran untuk mematuhi SOP tanpa gagal.

"Sekiranya yang berada di lokasi penggambaran itu memang sudah buat ujian pengesanan Covid-19, saya akan pastikan mereka sentiasa memakai pelitup muka.

CHE Ta lebih berhati-hati selepas dijangkiti Covid-19.
CHE Ta lebih berhati-hati selepas dijangkiti Covid-19.

"Kalau belum tiba giliran dia untuk berlakon ketika itu, saya akan minta pelakon berkenaan jangan tanggalkan pelitup mula. Hanya tanggalkan sewaktu giliran dia untuk berlakon saja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta baru saja dilantik sebagai duta kempen Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia, baru-baru ini.

Menurut Che Ta, dia bersyukur pada usia sekarang masih menjadi pilihan syarikat dan jenama bagi melantiknya menjadi duta.

"Alhamdulillah, pada usia ini masih diberi peluang untuk mewakili sesebuah produk. Macam tudung Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan, bagi saya tudung bukan hanya fesyen tapi sebab nak tutup aurat.

"Cuma, apabila bercakap soal umur saya kena pastikan juga produk itu sesuai atau tidak terutama dari segi pembawakan. Kalau main ambil saja, tapi kurang sesuai tak kena juga kan. Lagi satu, saya tidak mahu ia akan disalahgunakan pula nanti," katanya.

Sementara itu, Pengasas Jouls Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia atau Seri Hadia memilih Che Ta menjadi duta bagi memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal.

"Menerusi 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada ibu tunggal, itu misi kami iaitu untuk bantu mereka bangun dan teruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 6:48 AM