FAZURA dan Fattah Amin beramah mesra bersama para penerima sumbangan kasut dan duit raya yang terdiri daripada anak anak yatim dari Rumah Cahaya Kasih Kota Damansara di Bata Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
FAZURA dan Fattah Amin beramah mesra bersama para penerima sumbangan kasut dan duit raya yang terdiri daripada anak anak yatim dari Rumah Cahaya Kasih Kota Damansara di Bata Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Bagi menyantuni golongan yang tidak bernasib baik terutama anak yatim, Bata (Malaysia) Sdn Bhd (Bata) tidak melepaskan peluang sempena bulan Ramadan dengan meraikan 20 anak yatim dari Rumah Cahaya Kasih dalam satu majlis pemberian kasut, hari ini.

Majlis yang diadakan di salah satu cawangan Bata di pusat beli belah Suria KLCC di sini, turut dimeriahkan dengan kehadiran duta Bata yang juga pasangan selebriti popular tanah air, Fattah Amin dan Nur Fazura.

Fazura ketika ditemui berkata, dia dan Fattah sangat berbesar hati untuk meraikan anak yatim bersama Bata.

"Saya difahamkan rumah anak yatim yang dipilih ini bukan dari pertubuhan yang terkenal. Jadi, secara tak langsung dapat beri peluang kepada mereka yang selama ini mungkin kurang mendapat perhatian. "Sebenarnya dari tahun lalu lagi kami sudah berbincang dengan Bata untuk adakan majlis seperti ini tapi disebabkan pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia terpaksa ditangguhkan.

"Alhamdulillah tahun ini rezeki buat anak-anak yatim ini. Mereka berpeluang untuk memilih sepasang kasut baru untuk menyambut Aidilfitri nanti. Diharapkan pemberian ini dapat memberi senyuman kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bata Malaysia, Ajay Ramachandran berkata, Bata sentiasa optimis dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Menghadiahkan sepasang kasut mungkin dianggap satu pemberian yang kecil, tapi ia sangat bermakna bagi kanak-kanak untuk memiliki kasut yang sesuai dalam kehidupan seharian, tidak kira apa keadaan mereka sekalipun.

"Tidak dinafikan kasut yang selesa dan sesuai dengan saiz dapat meningkatkan mood serta kemampuan mereka untuk belajar dan berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:34 PM