TANGKAP layar Instagram Story Neelofa. FOTO Instagram
TANGKAP layar Instagram Story Neelofa. FOTO Instagram
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Neelofa terkilan dengan salah faham netizen terhadapnya apabila dia dikatakan menyindir seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan yang dikenakan kompaun RM50,000 oleh polis atas kesalahan berniaga melebihi had masa ditetapkan apabila memuat naik gambar burger di Instagram Story.

Gambar burger itu turut disertakan dengan keterangan gambar ditulis 'moreh burger malam ni meh'.

Difahamkan, gambar itu dimuat naik tidak lama selepas Neelofa mengeluarkan kenyataan mengenai denda kompaun sebanyak RM60,000 terhadap dirinya, suami PU Riz dan 20 anggota keluarganya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa berkata, tujuan dia memuat naik gambar burger itu sebenarnya untuk membantu peniaga burger terbabit.

"Ya Allah, ramainya salah faham dan bersangka tidak baik. Sebelum saya memuat naik gambar itu, peguam saya sudah menghubungi peniaga burger itu dan kami juga sudah menghubungi pihak polis bertanya mengenai kompaun yang dikenakan terhadapnya itu. Saya minta untuk bantu selesaikan bayarannya dengan izin Allah," tulisnya di Insta Story.

Dalam pada itu, rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan pihak polis mengenakan kompaun terhadap Neelofa dan keluarganya.

Namun, ada juga yang menganggap jumlah kompaun itu tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan selebriti popular itu.

Ada di antaranya menyifatkan Neelofa daripada keluarga 'kayangan' dan tiada masalah kewangan untuk menyelesaikan kompaun yang dikenakan kepada mereka.

"Tak ada apa yang boleh ubah apa-apa pun, kau orang ada duit. Family kau semua duduk dekat-dekat, kami ni tak ada duit kebahagiaan kami adalah berhimpun, bergembira masa puasa dan raya," kata seorang warganet.

"Kenapa kes Neelofa ni, tak masuk mahkamah macam kes pasangan Insta yang penjara satu hari tu ye," tulis seorang lagi netizen.

Terdahulu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dikenakan kompaun sebanyak RM20,000, manakala Riz sebanyak RM10,000.

Pasangan suami isteri itu melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan polis memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Dalam masa sama, 20 ahli keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung pada 27 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 9:01 PM