PROJEK solo Baekhyun berkonsepkan R&B. - FOTO Google
PROJEK solo Baekhyun berkonsepkan R&B. - FOTO Google
HM Digital

MENYENTUH perihal berkarya, kepuasan artis pastinya diraih daripada cetusan idea peribadi. Tentu sekali mereka lebih arif mengenai hala tuju kreativiti sendiri dan keseronokan mencurah idea jadi lebih maksimum.

Demikian dirasakan penyanyi, Baekhyun yang juga anggota EXO terhadap album terbaharunya. Projek solonya yang berkonsepkan R&B itu sememangnya cukup peribadi buatnya.

Menurut Baekhyun, itu cabaran terbaharu yang disahut bagi menunjukkan sisi berbeza dalam diri. Bahkan, dia memutuskan untuk menyerlahkan kemampuan vokal sebenar dalam album berkenaan.

"Setiap kali saya melancarkan album baharu, saya seronok melihat banyak idea sendiri terserlah dalam karya saya. Kali ini, saya banyak kongsi pendapat serta idea dan memang saya teruja, tapi gementar pada masa sama.

"Memasuki usia 30 tahun, banyak buah fikiran saya boleh menunjukkan sisi baharu diri sendiri. Saya sangat berharap idea berkenaan akan membuahkan hasil yang sangat setimpal.

"Ia juga adalah sebuah album yang hampir keseluruhannya berkisar tema cinta. Saya juga ingin menunjukkan kepelbagaian laras nyanyian R&B saya di mana 70 peratus adalah vokal manakala muziknya hanya 30 peratus," katanya.

Penyanyi itu mengakui niatnya untuk mengetengahkan konsep R&B adalah satu cara terbaik memperbaiki artistik nyanyiannya. Dia akui kini penguasaannya terhadap genre itu semakin ketara dan meningkat.

"Sebelum ini, saya tidak boleh menyanyikan rentak R&B dengan baik. Walaupun kemahiran saya kurang, saya memang berhajat menjadikan R&B sebagai genre utama untuk kerjaya muzik solo sudah sekian lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:44 AM