JAYAKAN showcase pertamanya di Malaysia.
JAYAKAN showcase pertamanya di Malaysia.
Georgie Joseph


SETIAP penyanyi baru yang hadir pastinya mengalami kesukaran menentukan hala tuju terbaik dalam muzik mereka. Demikian juga dilema dihadapi pendatang baru seni suara dari Indiana, Amerika Syarikat (AS), Omar Apollo.

Omar, 23, tidak menyangkal cintanya terhadap muzik sangat mendalam. Bagaimanapun, jejaka berdarah Latin itu tidak tahu sekiranya genre muzik R&B paling sempurna untuknya sebelum ini.

Mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak berusia 12 tahun, Omar perlahan-lahan memahami muzik bagaimana yang tepat buatnya. Dia tidak menafikan pembabitan di pentas membuat persembahan cukup membantu.

“Meskipun saya pernah membuat persembahan sebelum ini, saya masih belum pasti bagaimana hala tuju sempurna untuk muzik sendiri. Saya hanya menyedarinya selepas menjayakan siri jelajah yang pertama.

“Kadang-kadang, kita kena perlu tunggu masa yang tepat untuk tahu hala tuju terbaik dalam muzik sebelum membuat keputusan. Apapun, saya biarkan saja masa menentukan sebelum yakin muzik bagaimana yang sempurna untuk saya,” katanya.

Penyanyi Kickback itu mula mendapat perhatian berikutan melodi lagu-lagunya yang unik. Bukan saja sedap didengar, identiti diri Omar juga cukup terserlah dan itu membuatkan ramai tertarik mengetahui dirinya lebih lanjut.

Berkongsi hal itu, Omar bersyukur apabila dia memiliki kekuatan dari sudut berkenaan. Baginya, pujian sebegitu sangat bermakna apalagi dia sendiri berusaha mahu pakej muziknya lengkap dengan kualiti tertentu.

“Biasanya saya rasa sesuatu apabila menyanyikan sebuah melodi. Setiap kali mendengar kod lagu, serta-merta saya melagukan kod itu tanpa saya sedari ia tiba-tiba hadir begitu saja.

“Semua datang seperti pakej namun saya tidak dapat menggambarkannya secara jelas. Bagaimanapun, saya sekali gus tahu sama ada ia sedap seperti ada perasaan teruja dalam diri.

“Saya terus simpan melodi itu dan mencarinya semula apabila tiba masa membuat lagu,” katanya.

Omar juga tidak menafikan proses membuat lagu ada cabaran tersendiri. Baginya, itulah antara kemanisan dalam berkarya di mana dia tidak kisah jika inspirasi tidak datang serta-merta.

Demi kualiti, dia sanggup tunggu idea terbaik namun tidak bermaksud dirinya tidak mahu berusaha lebih.

“Selalunya saya menulis lagu apabila dilanda kesedihan atau idea itu datang tanpa disangka. Dalam sehari, saya habiskan sekurang-kurangnya dua jam untuk mengerah otak dan hasilkan lagu melainkan saya terbabit dalam persembahan siri jelajah.

“Bagaimanapun, ada masanya saya tidak dapat berfikir sebarang idea dan ia mengambil masa berhari-hari. Jadi, saya perlu menunggu seminggu, sebulan atau beberapa lama pun tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Sebagai pengkarya, kepuasan Omar juga terletak pada pembabitan sepanjang proses menghasilkan lagu. Dia sebolehnya tidak mahu bergantung kepada orang lain untuk menyiapkannya manakala dia pula duduk bersenang-lenang.

“Saya lakukan keseluruhan produksi menghasilkan lagu secara sendirian. Saya lebih seronok menghasilkannya mengikut cara sendiri namun tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan yang sudi.

“Sekarang, saya sangat selesa apabila menyanyi dan menari setiap kali berada di pentas. Terutama, sebaik saya dapat ‘mood’, persembahan pasti akan menjadi ‘gila’ dan lebih puas menghibur,” katanya.

Omar bertandang buat pertama kali ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mengadakan mini persembahan sulungnya yang dibawakan oleh Upfront. Acara terbabit berlangsung di Wisma Bentley, Mutiara Damansara.

Lebih 1,000 peminat hadir menyaksikan sendiri kehebatan Omar. Dia juga berjaya memberi persembahan yang memuaskan pada penonton hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:31 AM