AMZAR cuba beberapa genre muzik untuk mencari keserasian.
AMZAR cuba beberapa genre muzik untuk mencari keserasian.
Syafil Syazwan Jefri


JIKA sebelum ini, nama Amzar Sabri lebih sinonim dengan kumpulan Razqa yang dianggotai bersama adik kembarnya, Amsyar, kini Amzar memilih untuk membawa haluan sebagai penyanyi solo.

Pengalaman selama lapan tahun di dalam industri muzik digunakan Amzar dalam mencari arah tuju buat muzik yang dibawakannya.

"Saya sebenarnya tak pernah merancang pun untuk menghasilkan single solo. Tapi, saya dah berbincang dengan adik dan dia sendiri juga kini lebih banyak bergerak solo dalam haluan muzik hip hop.

"Saya rasa ini masa yang tepat untuk saya cuba mengembangkan sayap seni sebagai penyanyi solo dan bereksperimen dengan muzik," katanya.

Menurut Amzar, 25, percubaannya untuk bereksperimen dengan pelbagai genre muzik adalah untuk mencari keserasian.

"Untuk single solo pertama, saya keluarkan lagu berjudul Kenangan dan ia adalah karya bergenre balada. Selepas ini, saya akan hasilkan satu karya yang lebih rancak dan dalam senarai rancangan saya, sudah ada beberapa genre yang akan saya cuba bagi mencari keserasian. Hasilnya nanti saya akan lihat semula, genre dan muzik yang bagaimanakah yang menjadi pilihan pendengar dan serasi dengan saya," katanya.

Berkongsi mengenai Kenangan, lagu ciptaan Amzar bersama beberapa komposer ini dilancarkan pada 12 Mac lalu.

"Lagu ini dihasilkan oleh beberapa komposer antaranya Abby, Zulluey, Syed Harith Daniel dan saya sendiri manakala liriknya adalah hasil tulisan saya sendiri. Ia adalah lagu runut bunyi untuk telefilem berjudul Epilog Yasmin dan saya juga adalah salah seorang pelakon dalam karya itu," katanya.

Berkongsi serba sedikit mengenai lagu Kenangan, Amzar berkata, ia mengisahkan mengenai cinta yang tidak kesampaian.

"Dalam telefilem itu saya memegang peranan sebagai Nasir yang juga seorang novelis. Jadi, dalam cerita

itu, Nasir meninggal dunia dan cintanya tidak kesampaian. Lagu ini juga membawa jalan cerita sama, namun saya hasilkannya supaya bersifat universal sekali gus sesuai dengan banyak situasi lain," katanya.

Memulakan karier sebagai pelakon sejak tahun lalu, Amzar mengakui masih banyak kekurangan yang perlu dia tingkatkan.

"Selepas berlakon dalam dua karya dan menerima maklum balas positif, saya sendiri merasakan bahawa lakonan saya masih di tahap yang lemah. Saya tak mahu menyusahkan pihak produksi. Jadi, kalau selepas ini saya terima tawaran berlakon lagi, saya tidak akan terus terima sebaliknya akan menggilap bakat lakonan saya dengan menyertai kelas dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 6:12 AM