REMY dan Mira, pelakon utama drama Pujaan Hati Kanda.
REMY dan Mira, pelakon utama drama Pujaan Hati Kanda.
Norhayati Nordin


SELEPAS penangan hebat drama Rahimah Tanpa Rahim yang mengisi slot Akasia, jam 7 malam baru-baru ini, TV3 cuba memahat terus hati penontonnya dengan naskhah ulang siar, Pujaan Hati Kanda pula.

Bermula 3 Mac lalu, drama adaptasi novel 28 episod lakonan Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand Azar Azmi, Syazwan Zulkifli, Reen Rahim dan ramai lagi pelakon ini ditayang semula buat tatapan penonton.

Penulis skrip drama Syurga Untukmu, Lynnda Sharudin berkata, dia masih tidak jemu untuk menonton semula drama itu yang disifatkannya mempunyai jalan cerita ringan dan cukup menarik terus ditonton lagi.

"Drama Pujaan Hati Kanda ini juga antara karya yang pernah mencatat 'rating' terbaik penonton di TV3 sepanjang tayangannya pada 20 Disember 2018 hingga 28 Januari 2019.

"Bagaimanapun, tak dinafikan dan diakui lakonan mantap yang berkesan Remy dalam drama ini turut menarik minat saya untuk menontonnya lagi dan lagi. Bagi saya, Remy ada bakat lakonan tersendiri terhadap sesuatu watak dilakonkannya.

"Selain itu, saya juga percaya masih ramai penonton yang sedia menonton semula drama ini kerana jalan ceritanya yang tidak berat hingga memerlukan kita banyak berfikir. Ditambah juga, gabungan semua pelakon sangat menunjukkan kerjasama dan keserasian," katanya.

Menurut Lynnda lagi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 juga membuatkan banyak penggambaran drama terbaharu perlu dihentikan seketika. Jadi, apabila penggambaran tertangguh, memang tak boleh nak buat apa-apa.

"Apapun, penularan Covid-19 dalam negara yang memberi kesan kepada industri seni diharapkan berakhir segera. Alhamdulillah, harapan saya dengan adanya vaksin kini semoga semua terkawal.

"Apapun, sokongan saya pada drama Pujaan Hati Kanda kerana tarikan yang tersendiri. Saya yakin drama ini mampu memberi hiburan kepada kita semua meski ia adalah karya diulang siar. Pada saya, mesej positif dimuatkan dalam drama ini agak banyak," katanya.

AZHAN akur stesen TV siar semula drama terdahulu.
AZHAN akur stesen TV siar semula drama terdahulu.

Sehubungan itu, drama Pujaan Hati Kanda diarahkan Eoon Shuhaimi dan diterbitkan Mache All Star United. Tidak terkecuali, lagu temanya berjudul Pujaan Hati nyanyian Adira juga cukup popular dan diminati ramai.

Bagi pelakon Azhan Rani, dia melihat penayangan semula drama tempatan di kaca TV pada ketika ini ada baiknya daripada slot yang 'kosong' itu diisi siaran dengan produk seni dari luar.

"Saya melihat tindakan stesen TV menyiar semula drama terdahulu bagi memenuhi slot dan masa siaran dengan karya tempatan adalah lebih baik, berbanding mereka (stesen TV) membeli drama dari luar negara.

"Malah, daripada satu sudut lain pula mungkin stesen TV atau pihak berkenaan perlu mempertimbangkan imbuhan untuk situasi 'menang-menang' yang boleh diagih kepada warga kerja produksi terbabit dengan drama berkenaan.

"Sebagai pelakon, menjadi harapan saya semoga ada sinar baharu yang mungkin boleh difikirkan semula untuk warga industri hiburan tanah air terus menikmati hasil daripada karya diterbitkan itu," katanya.

Menurut Azhan, apapun penayangan semula kebanyakan drama lama oleh stesen TV mungkin kerana kekurangan bahan siaran untuk mengisi slot sedia ada berikutan banyak produksi tidak dapat menjalankan penggambaran kerana PKP akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 6:40 AM