BARISAN pelakon filem Bulan & Pria Terhebat. FOTO Arkib NSTP
BARISAN pelakon filem Bulan & Pria Terhebat. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit filem Bulan & Pria Terhebat, Nizra Entertainment berharap filem yang kembali ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula hari ini akan mendapat sambutan penonton.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Iruwan Nik Izani berkata, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu hanya sempat ditayangkan selama lima hari sebelum dihentikan tayangannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu.

"Filem ini ditayangkan pada 12 Mac tahun lalu di 146 pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei. Kami akur apabila operasi panggung wayang ditutup berikutan pelaksanaan PKP ketika itu.

"Harapan saya sudah tentulah untuk mendapatkan kutipan sebanyak yang mungkin. Saya amat berharap ramai penonton tengok filem ini bagi menyokong industri filem kita. Astro First adalah satu platform yang amat segar untuk menonton wayang dalam zaman ini. Ia 'panggung wayang' yang berkesan untuk rakyat Malaysia menonton dari rumah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, walaupun panggung wayang sudah dibuka kembali, jumlahnya terlalu kecil kerana masih banyak yang belum beroperasi.

"Ia akan membuatkan peminat sukar untuk menonton. Jadi, pilihan ini dibuat kerana saya mahukan yang terbaik untuk penonton.

"Harapnya mereka sokong filem ini untuk berikan peluang buat saya memberikan yang lebih baik dari apa yang ada sekarang," katanya.

Menurutnya, sebagai syarikat baru dia belajar banyak perkara dan meraih pengalaman dalam industri perfileman.

"Kami sudah mempunyai unit pembangunan filem sendiri dan sudah menyiapkan filem seterusnya serta mula bekerjasama dengan bakat-bakat tempatan yang bagus. Apa yang dilakukan ini ialah bertujuan untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Bulan & Pria Terhebat dibintangi Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi dan Yus Noor.

Filem yang menelan belanja RM4 itu adalah kerjasama sulung Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 9:03 PM