BARISAN pelakon filem Bulan & Pria Terhebat. FOTO Aswadi Alias
BARISAN pelakon filem Bulan & Pria Terhebat. FOTO Aswadi Alias
Georgie Joseph


BERIKUTAN penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan panggung wayang, tayangan filem Bulan & Pria Terhebat (BPT) akan dianjakkan semula ke satu tarikh baru.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment selaku penerbitnya, Nik Iruwan Datuk Nik Izani berkata, mereka akur tayangan filem itu dihentikan walaupun ia sudah mula ditayangkan pada 12 Mac lalu.

“Pihak kami kini berbincang dengan Astro Shaw dan Skop Productions dari semasa ke semasa mengenai nasib filem ini. Apapun, kami reda dengan keadaan yang tidak dijangka ini.

“Situasi sebegini tidak pernah terjadi dan kami sudah buat sehabis baik dari segi pemasaran. Bagaimanapun, kami akur ini bukan masa sesuai untuk penonton ke panggung wayang.

“Kami juga sedang menunggu penetapan tarikh baru wajib tayang untuk BPT. Mungkin tarikh itu akan ambil masa lebih disebabkan masih banyak filem lain yang turut ditangguh menunggu giliran untuk ditayangkan,” katanya.

Nik Iruwan juga mengesahkan penarikan tayangan filem itu dibuat serentak di semua lokasi termasuk Brunei dan Singapura.

“Saya tidak pasti sama ada panggung wayang di dua negara itu masih dibuka, tetapi kami tetap menghentikan penayangan filem ini di sana. Memandangkan wabak Covid-19 sekarang membabitkan seluruh dunia, keputusan itu perlu diambil,” katanya.

Terdahulu, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu tetap meneruskan tayangan mengikut jadual asal pada 12 Mac lalu di 146 pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei.

BPT dibintangi Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi dan Yus Noor.

Filem yang menelan belanja RM4 itu adalah kerjasama sulung Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:50 PM