Sushant Singh Rajput
Sushant Singh Rajput
Agensi

Mumbai: Biro Kawalan Narkotik (NCB) India memfailkan kertas dakwaan sebanyak 12,000 muka surat untuk menyiasat kes kematian pelakon Sushant Singh Rajput dari sudut pembabitan kes penggunaan dadah.

Kertas dakwaan itu mengandungi 33 nama tertuduh termasuk rakan karib Sushant iaitu Rhea Chakraborty. Ia turut mengandungi kenyataan daripada 200 orang saksi.

Kes itu didaftarkan pada Ogos tahun lalu dan mengambil masa enam bulan untuk memfailkan kertas dakwaan. Kertas terbabit dibuka selepas satu perbualan WhatsApp peribadi didedahkan pihak berkuasa.

Perbualan itu membongkar kes membekal dadah membabitkan Rhea dan abangnya Showik Chakraborty, serta beberapa kakitangan Sushant. Semua mereka dituduh memperoleh dan membekalkan dadah kepada pelakon itu.

Walaupun mereka kini sudah dibebaskan selepas diikat jamin, NCB turut menahan 30 individu lain yang berhubung kait dengan kes terbabit. Beberapa daripada mereka masih dalam tahanan pada ketika ini.

Sepanjang tempoh enam bulan, NCB melakukan serbuan di beberapa lokasi sekitar Maharashtra. Agensi itu berjaya membongkar jaringan dadah yang aktif beroperasi dalam industri hiburan Bollywood. 

Agensi berkenaan turut mendapatkan dan merekod kenyataan daripada artis bernama besar termasuk Deepika Padukone, Sara Ali Khan, Rakul Preet, Shraddha Kapoor, Arjun Rampal dan beberapa lagi.

Dunia hiburan India dikejutkan dengan pemergian Sushant yang meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu didakwa akibat bunuh diri. Bagaimanapun, kematiannya menimbulkan kesangsian banyak pihak.

Ia turut mencetuskan perdebatan hebat mengenai isu nepotisme di Bollywood sehingga menyebabkan kematian pelakon itu. Kemudian, perdebatan itu bertukar kepada kes dadah pula yang turut mengaitkan nama besar dalam industri hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 12:50 PM