JUREY LATIFF ROSLI
JUREY LATIFF ROSLI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli ingin merayu kerajaan supaya mempertimbangkan memberi kebenaran untuk aktiviti pengambaran program TV dijalankan semula.

Jurey dalam kenyataaan dikeluarkan hari ini, berkata ia berikutan pihaknya terpanggil membuat rayuan itu selepas mengambil kira keresahan pemain industri penerbitan kandungan kreatif yang terkesan apabila kerajaan masih tidak membenarkan sebarang aktiviti pengambaran filem dan program TV dijalankan.

"Sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, maka tiada aktiviti pengambaran dapat dijalankan sehingga menjejaskan pendapatan kepada pekerja di belakang tabir dan pelakon. Malah, ia akan membuatkan syarikat penerbitan mengalami kerugian akibat kos penerbitan meningkat kerana pembatalan aktiviti penggambaran itu.

"Sebagai persatuan yang memayungi syarikat penerbitan TV, kami ingin merayu pihak kerajaan mempertimbangkan memberi kebenaran untuk aktiviti pengambaran program TV dijalankan.

"Masalah ini juga akan menjejaskan kontrak di antara syarikat penerbitan dan stesen TV, selain daripada kurangnya bahan siaran baharu akibat banyak program tidak dapat disiapkan seperti sudah dijadualkan," katanya.

Menurut Jurey lagi, keadaan ini amat membimbangkan oleh kerana majoriti pekerja industri adalah 'freelancer' yang hanya mendapat bayaran apabila ada kerja dan kebanyakan mereka juga tiada wang simpanan untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

"Mereka (pekerja industri) pastinya terhimpit dengan masalah ini dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan kesinambungan hidup masing-masing.

"Justeru, PTVM ingin merayu agar dapat dipertimbangkan kebenaran penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai sebagaimana aktiviti ekonomi sektor lain yang dibenarkan seperti pasaraya, bengkel dan sebagainya bagi membantu meringankan bebanan kepada seluruh warga industri kreatif penerbitan TV dan filem tempatan," katanya.

Jurey berkata PTVM faham risiko bakal dihadapi kerana kita kini 'berperang' dengan musuh yang tidak nampak iaitu Covid-19. Tetapi, ujarnya PTVM juga lebih khuatir dan risaukan kebajikan pekerja industri dan penerbit yang terjejas.

"Jangan sampai ada di antara kami yang gulung tikar, muflis dan dapur tidak berasap dek kerana takut sangat dengan Covid-19 ini yang kita faham sangat berbahaya. Namun, bukanlah mustahil untuk kita kawal.

"Virus ini tidak berkaki dan bersayap, maka kita mampu menyekatnya dengan kaedah SOP yang betul. Justeru, kami mohon pertimbangan wajar agar aktiviti penggambaran dapat diteruskan. Kita khalifah di muka bumi ini, maka kita yang mengaturkan kehidupan dunia dan bukan Covid-19 itu," katanya.

Sehubungan itu, PTVM juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang turut membantu dengan menyediakan dana untuk merancakkan industri seni pada ketika banyak syarikat kini tiada projek.

Bagaimana pun, apabila kerajaan mengenakan PKP di seluruh negara maka semua projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Bahkan menurut penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri difahamkan Finas berusaha memberikan justifikasi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan kebenaran melakukan aktiviti pengambaran, tetapi sehingga kini belum ada keputusan dibuat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 5:37 PM