Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff Rosli
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berharap bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa terus cemerlang dalam apa jua pekerjaan di masa hadapan.

Jurey menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan PTVM, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Zurainah di atas perkhidmatan beliau selama menerajui Finas.

"Semoga beliau (Zurainah) terus cemerlang dalam apa jua pekerjaan di masa hadapan.

"Kekosongan jawatan Pengerusi Finas diharap dapat diisi oleh seorang yang berpengalaman, memahami dasar-dasar kerajaan dan mempunyai rekod pencapaian baik dalam industri. 

"Sebagai sebuah badan peneraju industri kreatif, Pengerusi Finas adalah jawatan penting dalam memacu kearah kecemerlangan industri kreatif negara," katanya menerusi kenyataan itu.

Jurey berkata, PTVM juga percaya Menteri Komunikasi Dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar akan melantik seorang yang berkebolehan bukan hanya atas faktor lantikan politik semata.

"Semoga lantikan kali ini (Pengerusi Finas baharu) menjurus ke arah lantikan berdasarkan merit dan kearifan dalam bidang ini. Industri kreatif perlu anjakan paradigma untuk maju ke hadapan.

"Seiring dengan pentadbiran kerajaan perpaduan menuju Malaysia yang lebih cemerlang dengan meletakan kepentingan rakyat diutamakan," katanya.

Menurut Jurey, PTVM akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang dasar-dasare kerajaan dan menjadi jambatan hubungan antara industri kreatif dan kerajaan.

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan Zurainah sebagai Pengerusi Finas dibatalkan serta-merta, baru-baru ini. Perkara itu juga disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan Zurainah semalam, beliau memaklumkan perkhidmatannya dibatalkan atas sebab tindakan menteri, Fahmi Fadzil memendekkan tempoh perlantikan dan sekali gus menepis dakwaan berkaitan penyelewengan dana Finas.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 1:09 PM