DATUK Latiff Rosli. FOTO arkib NSTP
DATUK Latiff Rosli. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyeru kepada semua syarikat penerbitan TV yang masih belum menjadi ahli untuk menyertai mereka bagi memastikan nasib terbela.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, sebagai persatuan yang menjaga kepentingan industri penerbitan televisyen, dia sudah tidak mampu lagi melihat ahli berpecah dan berpuak kerana perpecahan menjadikan mereka lemah dan tidak dihormati.

"Sejak sekian lama banyak syarikat penerbitan berasakan mereka tidak memerlukan persatuan. Malah ada yang mengatakan membazir menjadi ahli kerana tiada faedah.

"Tidak kurang ada yang mengatakan biarlah persatuan berjuang nanti hasilnya akan diterima dan dirasai bersama juga.

"Ramai yang tamak dan pentingkan diri sendiri, maka ujian Covid-19 ini diharap dapat mengubah persepsi kepada pentingnya berpersatuan," katanya.

Jurey menerusi catatan di Facebook berkata,  PTVM sudah berjaya memperjuangkan beberapa perkara antaranya kenaikan kadar harga pembelian program tempatan di RTM, stesen swasta, isu IP dan pembatalan kontrak perbekalan di RTM akibat Covid-19.

"Usaha lain demi membantu syarikat penerbitan TV sejak covid juga antara yang kami perjuangkan. Berita baik berkenaan perkara ini akan diumumkan oleh menteri tidak lama lagi. 

"Untuk makluman kepada semua syarikat penerbitan TV, hubungan baik antara Ketua Setia Usaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), Pegawai Tertinggi RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjadikan suara kami didengari dan diberikan perhatian," katanya.

Menurut Jurey, PTVM kini menjadi rujukan pihak kerajaan dalam mendapat info berkenaan industri kreatif penerbitan TV.

"Kami ingin membantu semua syarikat yang menghadapi masalah. Kami amat memahami segala kesulitan semua penggiat seni akibat kerajaan tidak membenarkan sektor industri kreatif beroperasi.

"PTVM sedaya upaya sedang berusaha dengan segala kemampuan dalam memohon kerajaan memberikan kebenaran pengambaran dalam masa terdekat. Semua ini bukan hanya untuk ahli-ahli kami tetapi perjuangan ini untuk kita semua.

"Sebagai sebuah persatuan yang ditubuhkan antara objektifnya menjadi pengantara antara kerajaan dan industri penerbitan TV, suara kami mampu untuk membantu kita dalam menghadapi saat getir ini," katanya. 

Jelas Jurey lagi, penggiat seni perlu bergerak dalam satu kumpulan dan bercakap senada untuk memastikan apa jua isu mendapat perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

"Kita lihat industri lain yang diurus dengan baik dalam sebuah persatuan yang besar dimana kerajaan sentiasa memberikan perhatian kerana kelompok mereka kuat berpengaruh seperti persatuan pengilang dan persatuan lain dalam industri yang berbeza. 

"Kita sudah tidak ada pilihan jika kita mahu suara kita juga didengari. Jangan lagi berpecah kerana perpecahan itu menjadikan kita kumpulan minoriti yang tidak dipedulikan seperti mana industri-industri lain yang lebih kecil yang tidak mampu bersuara.

"Jika benar kita sangat terkesan, maka hanya satu pilihan iaitu kita jaga kita dan jadikan suara kita suara majoriti yang bersatu di bawah payung Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia," katanya. 

Dalam masa sama, Jurey mengulangi keyakinan apabila penggiat seni bersatu, maka mereka akan menjadi suara terbesar industri TV dalam mengangkat isu dan permasalahan industri untuk kerajaan lebih memahami seterusnya membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 9:22 PM