Georgie Joseph


ANUGERAH Juara Lagu 34 (AJL34) yang bakal berlangsung pada 9 Februari ini, 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil mengetengahkan tema ‘Warna-Warna Suara’.

Berlaku pertukaran pengacara untuk edisi kali ini apabila Awal Ashaari dan Haziq Hussni dipilih bergandingan dengan Sherry Al Hadad sebagai hos. Tahun lalu, Sherry bergandingan dengan Alif Satar.

Yang pasti, 12 finalis bertanding untuk acara kemuncak itu nanti cukup teruja dan tidak sabar beraksi di pentas.

Naim Daniel misalnya yang bertanding buat julung kali dengan mempertaruhkan lagu Sumpah mengakui rasa teruja lebih mengatasi perasaan gementar.

“Saya kini memang sibukkan diri dengan persiapan rapi daripada segi fizikal dan mental. Saya pun kurangkan mengambil tawaran persembahan untuk memberi fokus kepada minda, badan, dan jiwa.

“Walaupun pertama kali bertanding dan berkongsi pentas dengan nama besar lain, saya tidak mahu diri dikuasai rasa gementar. Rasa itu memang ada namun saya kawal agar berpada-pada dan seimbangkan dengan persiapan yang terbaik,” katanya.

Kembali mengendalikan acara berprestij itu selepas beberapa tahun, Awal mengakui tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berkenaan.

PENGACARA AJL 34 dari kiri Awal As’shari, Sherry Al-Hadad dan Haziq Hot FM pada sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) di De.Wan 1058 by Chef Wan Restaurant, The Linc, Jalan Ampang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
PENGACARA AJL 34 dari kiri Awal As’shari, Sherry Al-Hadad dan Haziq Hot FM pada sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL 34) di De.Wan 1058 by Chef Wan Restaurant, The Linc, Jalan Ampang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Saya seperti orang mengantuk disorongkan bantal. AJL adalah antara acara yang memang saya sentiasa ternanti-nanti untuk kendalikan.

“Bergandingan dengan Haziq dan Sherry juga memberi kelebihan buat saya disebabkan mereka memang pengacara tetap Muzik Muzik. Saya tidak risau sangat aspek teknikal dan cuma perlu menyampaikan acara itu sebaik mungkin,” katanya.

Selain Naim, 11 finalis lain bertanding adalah Drama Band (Drama), Akim & The Majistret (Rampas), Kugiran Masdo (Dinda), Hazama & The Penglipurlara (Peneman), Aina Abdul (Sumpah), dan Hafiz Suip (Kisah Cinta Kita).

Tidak ketinggalan, Ernie Zakri dengan Ku Bersuara, Bob Yusof (Anta Permana); Fairuz Misran (Ragaman) dan Haqiem Rusli (Lembah Kesepian) dan Aman RA (Bangun).

Pada malam itu nanti, AJL34 akan memulakan kehangatannya dengan segmen Karpet Merah secara strim langsung definisi tinggi (HD) di laman tonton pada pukul 8 malam, atau pada pukul 8.30 malam di TV9.

Seperti tahun lalu, AJL34 juga akan menjual tiketnya melalui laman web https://myticket.asia/ dengan harga serendah RM30, bermula hari ini, 9 Januari, pada pukul 9 malam. Peminat boleh dapatkan tiket AJL34 mengikut aras tempat duduk yang dikehendaki iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) atau Aras 4 (RM30).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:13 PM