FLOOR 88 dalam penggambaran video muzik lagu Yang Benar.
FLOOR 88 dalam penggambaran video muzik lagu Yang Benar.
Norhayati Nordin


SEJAK 2017, nama Floor 88 sudah menjadi sebutan peminat bermula dengan lagu Zalikha.

Terus memilih nama wanita untuk lagu selanjutnya, dipertaruhkan pula Aqilah kepada pendengar dan masih berjaya.

Sedar perlu ada kelainan, Floor 88 tampil pula dengan lagu duet berjudul Roadblock Hatiku bersama Baby Shima.

Sekali lagi, percaturan dibuat berjaya. Malah, gandingan bersama Baby Shima dianggap tepat dan sangat serasi.

Pun begitu, bersandarkan tiga lagu yang popular belum cukup membuatkan Floor 88 lega. Kemunculan lagu baharu penting untuk peminat.

Justeru, dilancarkan pula lagu keempat berjudul Hutang pada tahun lalu dan penerimaan peminat juga di luar jangkaan.

Apapun, untuk tahun ini Floor 88 muncul lagi dengan lagu baharu dan pastinya Yang Benar menjadi pilihan buat pendengar.

TAMPIL pertaruh lagu genre balada.
TAMPIL pertaruh lagu genre balada.

Pada peringkat awal, lagu ini bagaikan ‘tersalah konsep’ apabila tampil dengan genre balada yang berbeza dengan ‘forte’ lagu Floor 88 sebelum ini.

Penyanyinya, Ayie Elham berkata, Yang Benar adalah karya lama ciptaan Achoi sejak sebelum mereka bergelar artis.

“Terlalu lama sebenarnya lagu Yang Benar disimpan. Ia berikutan Floor 88 takut memikirkan bagaimana penerimaan pendengar terutama peminat kami. Apatah lagi, Floor 88 sudah sebati dengan lagu bergenre pop dan rancak sejak beberapa tahun lalu. Tiba-tiba, cuba bertukar angin pertaruhkan lagu balada pula.

“Ia nampak seperti pelik, tetapi semua perancangan sebenarnya sudah dibuat Eric apabila dia memasukkan ‘teaser’ lagu Yang Benar pada akhir video muzik lagu Hutang.

“Sejak itu, kebanyakan penonton muzik video Hutang mula perasan bahawa Floor 88 akan tampil dengan lagu baharu dan mereka selalu bertanya bila,” katanya.

Menurut Ayie, strategi diguna pakai Eric membuahkan hasil dan lagu Yang Benar adalah prekuel pada lagu Hutang.

FLOOR 88 tambat hati pendengar muzik dengan lagu genre balada pula.
FLOOR 88 tambat hati pendengar muzik dengan lagu genre balada pula.

“Jalan cerita lagu Hutang dan Yang Benar ada kaitan. Ia umpama satu kisah drama ikatan perhubungan dijalin sejak kanak-kanak hingga dewasa.

“Apapun, Floor 88 pada awal lagu Yang Benar dilancarkan berasa sangat takut. Kami bimbang lagu balada dipertaruhkan gagal menambat hati pendengar muzik tanah air.

“Sangat berdebar menantikan bagaimana maklum balas pendengar. Namun, Alhamdulillah semuanya amat positif.

“Dua hari video muzik lagu Yang Benar dilancar, boleh dikatakan sekitar 80 peratus komen pendengar diterima memaklumkan karya itu sedap melodi dan liriknya.

“Jumlah tontonan video muzik juga dalam masa singkat mencatat dua juta tontonan di YouTube. Baru kami yakin, keputusan Floor 88 tepat,” katanya.

Ayie berkata, Floor 88 sentiasa menyimpan impian mahu semua lagu dihasilkan mampu diterima baik pendengar dan menghiburkan peminat.

Sentiasa hargai peluang dimiliki

Lebih memilih berusaha gigih untuk setiap peluang diperoleh, Floor 88 rela ‘pecah kepala’ bekerjasama menghasilkan lagu terbaik.

Ayie berkata, dia sentiasa menghargai peluang dimiliki, semua anggota Floor 88 ada peranan masing-masing.

“Walaupun Acoi sebagai pemain gitar utama, tapi saya tak nafikan mindanya sangat kreatif dalam penghasilan lagu.

“Begitu juga dengan Eric yang juga pemain keyboard. Dia sangat cekap dalam penghasilan video muzik lagu Floor 88 yang diarahkannya.

ANGGOTA Floor 88 dari kiri berdiri Akram, Acoi, Erie, Falique, Amir (depan dari kiri) dan Ayie.
ANGGOTA Floor 88 dari kiri berdiri Akram, Acoi, Erie, Falique, Amir (depan dari kiri) dan Ayie.

“Amir pula yang bermain gitar kedua dalam Floor 88 dan paling pendiam orangnya akan bertindak sebagai pemerhati. Selalunya, Amir membetulkan idea yang difikir kurang sesuai.

“Untuk kewangan pula, Akram bertanggungjawab walaupun posisi dia di belakang sebagai pemain dram. Akram boleh dikatakan pengatur belanja yang berhemah dalam Floor 88,” katanya.

Mengulas sisi Falique pula, Ayie berkata, pemain gitar bass itu adalah anggota paling matang dalam Floor 88. Katanya Falique bertindak sebagai abang.

Sebagai anggota paling muda dalam Floor 88, Ayie berkata, dia juga tiada masalah untuk mendengar kata anggota lain. Hubungan mereka rapat bagaikan keluarga.

Selain lagu Yang Benar, Floor 88 juga tampil dengan satu lagi karya baharu berjudul Cikadot yang turut mendapat sambutan baik peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:00 AM