AHLI kumpulan Floor 88 teruja dapat hasilkan album sulung, hubungan umpama adik-beradik
AHLI kumpulan Floor 88 teruja dapat hasilkan album sulung, hubungan umpama adik-beradik
Norhayati Nordin


BERTAHAN selama lima tahun dalam industri muzik bukan perkara mudah untuk dikekalkan. Pastinya banyak liku pahit dan manis harus sedia dilalui.

Apatah lagi, setiap individu yang menjadi sebahagian anggota dalam sesebuah kumpulan itu ada ragam tersendiri. Umpama 'enam kepala' di dalam satu badan yang perlu sentiasa bergerak.

Bagi kumpulan Floor 88 yang dianggotai Ayie Elham sebagai penyanyi, Achoi (gitar), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua), tempoh lima tahun 'bersama' amat bermakna.

Buktinya, mereka teruja dapat merealisasikan impian menghasilkan album sulung yang memuatkan 10 lagu popular Floor 88 untuk dijadikan buah tangan buat peminat yang tidak jemu memberi sokongan.

Berbicara mengenai album berjudul Infinity yang diterbitkan secara digital itu, Eric berkata, Floor 88 terpaksa akur dengan pengaruh era teknologi masa kini yang menjurus pada aktiviti penstriman di pelantar muzik seperti Spotify.

"Sebenarnya, ikutkan perancangan awal kami mahu menerbitkan album Infinity ini dalam bentuk fizikal iaitu CD (cakera padat). Bagaimanapun, penularan Covid-19 pada 2020 lalu menyebabkan perancangan akhirnya diubah.

"Dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara yang dibuat beberapa kali menyebabkan banyak kerja-kerja seni kami yang tertangguh dan pelbagai urusan dilakukan secara virtual," katanya.

Ditanya harapan Floor 88 terhadap penjualan album Infinity itu, Eric berkata, mereka sudah membuat yang terbaik kerana memuatkan banyak karya lagu popular yang pastinya mampu menghiburkan peminat.

Antaranya ialah Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku, Yang Benar, Hutang, Original Sabahan, Chikadun, 24434 dan satu single baharu, Sahabat ciptaan Achoi.

Mengulas mengenai lagu Sahabat, Achoi atau nama sebenarnya Zai Hamzah berkata, lagu itu amat istimewa kerana mengisahkan mengenai setiap anggota Floor 88 dan ia amat dekat di hatinya.

FLOOR 88 kini tampil dengan album sulung digital, Infinity.
FLOOR 88 kini tampil dengan album sulung digital, Infinity.

"Ketika mendapat ilham lagu ini, saya memang ingatkan rakan-rakan dalam Floor 88 yang dianggap umpama adik-beradik. Apatah lagi, kami semua sudah bersahabat baik selama 13 tahun.

"Cuma, di dalam Floor 88 saja kami baru bergabung selama lima tahun sebagai sebuah kumpulan muzik. Sebenarnya dalam hubungan persahabatan dibina ini tentulah ada dugaan yang tak mampu dielak

"Bertengkar dan tak sefahaman pendapat itu lumrah dan perkara biasa apabila membabitkan lebih 'satu kepala', tapi tidaklah kami bermasam muka terlalu lama kerana masing-masing bersikap matang dan profesional. Kami juga suka menyelesaikan masalah segera," katanya.

Bagi Ayie pula, dia pasti sebak setiap kali menyanyikan lagu Sahabat itu.

Katanya, lagu berkenaan memang dekat dengan hatinya kerana ia kisah mereka berenam dan ia amat sentimental.

"Tak tahulah, perasaan sebak di hati saya amat menebal kerana persahabatan kami sangat bermakna. Bukan mudah untuk Floor 88 berada pada tahap sekarang kerana kami juga terpalit gosip.

"Perjuangan muzik kami ikhlas kerana mahu menghiburkan peminat. Kami amat berusaha gigih untuk memastikan genre muzik diketengahkan diterima baik peminat. Kami juga beranikan diri mencuba nasib berlakon," katanya.

Berterima kasih kepada peminat, Ayie berkata, walaupun kebanyakan anggota Floor 88 sudah berkeluarga, namun mereka akan terus komited dalam karier seni. Kecintaan di hati mereka sukar diungkapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 6:00 AM