SHAFFIQ
SHAFFIQ
Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi baru, Shaffiq Erwin teruja memulakan langkahnya sebagai penghibur terutama selepas hadir dengan single pertamanya berjudul Jangan Kau Jauh.

Namun, Shaffiq bukan sekadar mahu meraih populariti sebaliknya ada misi lain dalam memartabatkan seni dan pencapaian peribadinya.

“Saya menjadi penyanyi bukanlah kerana inginkan populariti sebaliknya ia berkaitan dengan pencapaian diri sendiri.

“Disebabkan minat mendalam terhadap muzik, saya meneruskan pelajaran dalam bidang itu di ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan),” katanya.

Menurutnya, penghasilan single sulung ini salah satu hadiah untuknya selepas bekerja keras sebagai pelajar.

“Selepas tamat pengajian, saya memang berazam menghasilkan satu single. Kini dengan terhasilnya lagu ini, tercapailah objektif saya melangkah masuk ke dalam industri muzik,” katanya.

Bercerita mengenai lagu baru ciptaan Sissy Iman ini, Shaffiq berkata, ia mengisahkan mengenai kekasih yang mengharapkan cinta hatinya tidak pergi jauh meninggalkannya.

Tidak hanya memfokuskan kepada cinta antara pasangan kekasih, Shaffiq juga menegaskan lagu Jangan Kau Jauh sesuai diinterpretasikan daripada pelbagai sudut dan bersifat universal.

Ditanya apa yang ingin dia kecapi sebagai penyanyi dalam masa 10 tahun akan datang, penyanyi berusia 25 tahun ini mempunyai cita-cita besar.

“Saya mahu menerapkan muzik klasikal dan menjadikan genre itu sebagai satu muzik yang tidak asing buat pendengar. Kalau diamati, lagu Jangan Kau Jauh ini saya ada menyelitkan elemen klasikal untuk menambah kelainan,” katanya.

Ditanya mengenai rujukan muziknya, Shaffiq banyak melihat ke arah karya penyanyi Indonesia Afgan dan Ewal.

Selain berbakat dalam bidang muzik, Shaffiq juga sangat kreatif dalam mereka pakaian dan kebanyakan pakaiannya untuk persembahan adalah rekaannya sendiri.

“Ibu bapa saya memiliki butik pakaian dan disebabkan itu fesyen adalah sebahagian daripada minat saya. Kebanyakan pakaian untuk persembahan, saya reka sendiri. Saya akan berikan idea dan bapa saya akan mendapatkan kain yang saya mahukan dan menjahitnya,” katanya yang turut mahu mencuba nasib dalam bidang pengacaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:01 AM